03/06/2026
Serdang, 21 Mei 2026 – UPM Consultancy & Services (UPMCS) telah mengadakan sesi perbincangan kolaborasi strategik bersama Institut Bioteknologi Kebangsaan Malaysia (NIBM) bagi memperkukuh jaringan kerjasama dalam bidang bioteknologi.
Delegasi UPMCS diketuai oleh Puan Norfazila Said selaku Pengurus Besar bersama barisan pegawai kanan UPMCS.
Sesi perbincangan yang berlangsung di Institut Bioteknologi Kebangsaan Malaysia (NIBM) itu turut dihadiri oleh Puan Norhidayah Mohd Akil selaku Pengurus Jabatan Pembangunan Perniagaan dan Pengurusan Inovasi bersama wakil-wakil lain daripada NIBM.
Perbincangan ini memberi fokus kepada potensi kerjasama strategik dalam bidang perundingan, kontrak penyelidikan (contract research), ujian klinikal serta perkhidmatan makmal yang berpotensi memberi manfaat bersama kepada kedua-dua organisasi. Kedua-dua pihak turut meneroka peluang kolaborasi bagi meningkatkan kecekapan operasi, memperluaskan capaian industri serta memperkukuh penawaran perkhidmatan dalam ekosistem bioteknologi negara.
UPMCS turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak Institut Bioteknologi Kebangsaan Malaysia (NIBM) serta seluruh warga kerjanya atas sambutan mesra dan kerjasama yang diberikan sepanjang sesi perbincangan tersebut. Kolaborasi ini mencerminkan komitmen kedua-dua pihak dalam memperkukuh hubungan strategik melalui perkongsian kepakaran, inovasi dan penerokaan peluang kerjasama yang mampan serta berimpak tinggi.