24/06/2026
AMALAN HARI ASHURA’ YANG MUJARAB AGAR DILAPANGKAN REZEKI SEPANJANG TAHUN
Diriwayatkan bahawa RasuluLlah SAW bersabda
مَنْ وَسَّعَ عَلَى عيالِهِ يَوْمَ عَاشُورَاءَ وَسَّعَ اللهُ عَلَيِهِ سائر سَنَتِهِ
“Barangsiapa yang meluaskan (melapangkan – menggembirakan) ahli keluarganya pada Hari Asyura, nescaya Allah akan melapangkan bagi ahli keluarganya sepanjang tahun.
(Hadith riwayat al-Bayhaqi, Ibn Abi Dunya dan al-Tabrani.
Ulama berselisih pendapat mengenai status hadith ini iaitu:
1. Ada yang mengatakan ianya sahih seperti Imam Sufyan Ibnu 'Uyaynah, al-Hafiz Ibn Nasir, Imam al-Suyuti, Imam al-Munawi, Imam Ibn Abidin, dan Syeikh Ahmad al-Ghumari
2. Ada yang mengatakan ianya hadith hasan seperti Imam Ibn Hibban, Imam al-Bayhaqi, al-Hafiz al-‘Iraqi, al-Hafiz al-Sakhawi dan Mawlana Abd al-Hayy al-Laknawi
3. Ada yang mengatakan ia hadith da’if biasa seperti Imam Abu Zur’ah dan Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani
4. Ada yang mengatakan ia hadith da’if jiddan (da’if berat) seperti Imam Abu Hatim dan al-Hafiz Daruqutni
5. Ada yang mengatakan ia hadith yang tiada asal dan tidak sabit sanadnya seperti Imam Ahmad bin Hanbal, al-Hafiz al-‘Uqayli dan Imam Ibn Rajab al-Hanbali
6. Ada yang mengatakan ia hadith mawdhu’ (palsu) seperti Imam Ibn Jawzi, Imam Ibn Taymiyah dan Imam Ibn Qayyim.
Dalam penulisan sebelum ini, saya telah jelaskan bahawa sesebuah hadith yang dihukum palsu oleh sesetengah ulama akan tetapi tidak disepakati kepalsuannya oleh ulama lain, maka hadith tersebut tidak boleh ditolak begitu saja lalu dihukum palsu secara mutlak kerana ia masih terbuka untuk menjadi maqbul dalam pengamalannya meskipun status hadithnya mardud (ditolak) dalam ilmu mustalah hadith.
Apabila kami mengatakan hadith yang tidak disepakati sebagai hadith palsu terbuka kepada penerimaan ulama untuk mengamalkannya, ia hendaklah difahami dalam konteks bahawa hadith tersebut telah melalui proses penilaian oleh ulama muktabar untuk menerima hadith tersebut sebagai maqbul untuk pengamalannya.
Hatta hadith sahih sekalipun masih perlu untuk disaring dan ditapis oleh para ulama untuk ianya maqbul dalam pengamalan lantaran terdapat hadith sahih yang mardud (ditolak) disisi ulama untuk diamalkan kerana bukan semua hadith sahih terus layak secara mutlak menjadi maqbul dalam pengamalan. Maka demikian jugalah dengan hadith da’if jiddan atau hadith yang tidak disepakati kepalsuannya, ia akan diamalkan apabila terdapat ulama muktabar menerimanya dan tidak menolak pengamalannya.
Disinilah pentingnya untuk para penutut ilmu membezakan antara status hadith dan penerimaan hadith oleh para ulama muktabar untuk diamalkan.
Lihatlah contoh dibawah bagaimana Imam Ahmad bin Hanbal membezakan antara status hadith dan penerimaan hadith untuk diamalkan.
Imam Ahmad bin Hanbal ketika ditanya mengenai status hadith meluaskan perbelanjaan isi rumah di Hari Asyura’, beliau menjawab bahawa hadith tersebut tiada asalnya (لا اصل له) .
Akan tetapi, apabila beliau ditanya muridnya bernama Imam Ibn Mansur mengenai amalan meluaskan perbelanjaan pada hari ‘Asyura, maka Imam Ahmad tidak menolak pengamalannya bahkan menjawab bahawa ia adalah amalan mujarab yang diamalkan oleh sebaik-baik kelompok dari kalangan ulama salaf seperti Imam Ja’far bin Ibrahim bin Muhammad bin Muntashir dan Imam Sufyan bin ‘Uyaynah yang berkata “Kami telah mendapatinya ianya mujarab selama kami mengamalkannya sepanjang 50 hingga 60 tahun lamanya dan tidaklah kami raih kecuali kebaikan”. (Rujukan: Kashshaf al-Qina’ li al-Buhuti al-Hanbali)
Imam Ibn Abd al-Barr dalam al-Istidhkar menyebut bahawa ulama salaf yang menyebut ia amalan mujarab yang telah terbukti kebenaran fadilatnya ialah Imam Syu’bah, Imam Abu al-Zubayr, Imam Yahya bin Sa’id dan Imam Sufyan al-Thawri.
Syeikh Ahmad ibn al-Siddiq al-Ghumari dalam Hadiyyat al-Sughara' bi Tashih Hadith Tawsi'ah Yawm 'Asyura' (هدية الصغراء بتصحيح حديث توسعة يوم عاشوراء) menyatakan bahawa hadith kelebihan meluaskan perbelanjaan hari Asyura’ adalah contoh yang penting untuk memahamkan bahawa hadith yang mardud dalam ilmu mustalah hadith, ia tidak semestinya mardud di medan pengamalan kerana ia boleh jadi maqbul untuk diamalkan apabila dinilai oleh ulama untuk ia layak diamalkan.
Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani dalam al-Amali al-Mutlaqah menyatakan bahawa hadith mengenai kelebihan meluaskan perbelanjaan hari Asyura datang dari banyak jalur riwayat akan tetapi semua jalur riwayat tersebut adalah da’if. Namun berhimpunnya seluruh jalur riwayat yang da’if tersebut menjadikan ia saling menguatkan antara satu sama lain.
Amalan meluaskan perbelanjaan adalah amalan yang dianjurkan oleh Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani untuk dilakukan dalam bulan Muharram yakni pada Hari Asyura. Kitab al-Amali al-Mutlaqah dikarang oleh Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani adalah untuk menyebarkan anjuran-anjuran amalan yang patut dilakukan pada setiap bulan sepanjang tahun dari bulan Muharram sehingga bulan Zulhijjah.
Meskipun hadith-hadith mengenai kelebihan meluaskan perbelanjaan hari Asyura diakui oleh Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani bahawa semua jalur riwayatnya adalah da’if, namun setelah beliau menilai kekuatan hadith-hadith itu dengan teliti, akhirnya, kedaifan semua jalur riwayat itu tidak menghalang beliau untuk menyebarkan hadith-hadith tersebut untuk dimasyhurkannya agar diamalkan oleh umat Islam untuk meraih fadilat yang terkandung di dalamnya.
Oleh kerana itu, Shaykh Muhammad ‘Awwamah dalam Hukmu al-‘Amal bi al-Hadith al-Da’if telah mengemukakan penilaian semula terhadap kalam Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani dalam kitabnya Tabyin al-‘Ajab yang menyebutkan amalan puasa Rejab yang berasal dari hadith da’if tidak sewajarnya dimasyhurkan amalannya.
Shaykh Muhammad ‘Awwamah menyatakan bahawa kalam Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani tersebut adalah suatu yang ganjil dan asing dalam ilmu hadith kerana ia bertentangan dengan ucapan dan praktik muhaddithin mutaqaddimin dan muta'akhirin bahkan bertentangan dengan praktik Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani sendiri dalam kitab-kitabnya yang lain. Dan syarat amal hadith da’if untuk tidak memasyhurkannya seperti yang disebut beliau adalah suatu syarat yang tidak dinukilkan oleh anak-anak muridnya dan tiada ucapan ulama lain atau ucapan beliau sendiri dalam kitabnya yang lain yang menyokong kepada syarat tersebut.
Kembali kepada amalan meluaskan perbelanjaan hari Asyura, ulama dari semua mazhab menyatakan bahawa disunatkan dan mustahab yakni digalakkan umat Islam untuk meluaskan perbelanjaan isi rumah dan kepada orang lain pada hari Asyura untuk merebut fadilat amal yang terkandung di dalamnya.
Al-Imam Ibn Abidin daripada Mazhab Hanafi menyatakana bahawa amalan meluaskan perbelanjaan hari Asyura adalah sabit dan sahih ini lalu menukilkan kata-kata Jabir:
قَالَ جَابِرٌ: جَرَّبْته أَرْبَعِينَ عَامًا فَلَمْ يَتَخَلَّفْ
“Dan berkata Jabir: Aku telah melakukan perkara ini selama 40 tahun dan tidak pernah meninggalkannya” (Radd al-Mukhtar)
al-Imam al-Hattab al-Maliki dari Mazhab Maliki p**a menyatakan:
يَنْبَغِي أَنْ يُوَسِّعَ عَلَى الْأَهْلِ فِيهِمَا -أي ليلة عاشوراء ويومها
“Seharusnya bagi seseorang itu melapangkan (memudahkan urusan atau menggembirakan) ahli keluarganya pada malam atau siang Hari Asyura. (Mawahib al-Jalil)
Sheikh Abd al-Hamid al-Shirwni dari Mazhab Syafi’i menjelaskan:
وَيُسَنُّ التَّوْسِعَةُ عَلَى الْعِيَالِ فِي يَوْمِ عَاشُورَاءَ؛ لِيُوَسِّعَ اللهُ عَلَيْهِ السَّنَةَ كُلَّهَا كَمَا فِي الْحَدِيثِ الْحَسَنِ
“Dan disunatkan untuk melapangkan perbelanjaan kepada ahli keluarga pada Hari Asyura mudah-mudahan Allah melapangkan ahli keluarganya sepanjang tahun seperti yang disebutkan dalam hadith. (Hasyiah ‘Ala Tuhfah al-Muhtaj)
al-Imam al-Bhuti dari Mazhab Hanbali p**a menukilkan pandangan al-Imam Ahmad dan Sufyan Ibn ‘Uyainah yang menyebutkan:
قَالَ ابْنُ عُيَيْنَةَ: قَدْ جَرَّبْنَاهُ مُنْذُ خَمْسِينَ سَنَةً أَوْ سِتِّينَ فَمَا رَأَيْنَا إلَّا خَيْرًا
“Kata Ibn ‘Uyaynah: Kami telah melakukannya selama 50 tahun atau 60 tahun, kami tidak melihatnya melainkan kebaikan. (Kashshaf al-Qina’ ‘An Matn al-Iqna’)
Seseorang yang memilih pendapat ulama yang ramai yang menyokong galakan meluaskan perbelanjaan hari Asyura’, hendaklah dia mengamalkannya tanpa dia merendahkan orang yang memilih pendapat segelintir ulama yang menolak pengamalannya. Begitu juga dengan orang yang tidak mahu mengamalkannya, silakan dengan pilihannya akan tetapi hendaklah dia tidak membid’ahkan orang yang ingin mengamalkannya.
Kepada yang ingin beramal dengannya, perbelanjaan bermula selepas maghrib esok ( 25 Jun 2026).
Selamat beramal!
iqbal Zain al-jauhari