26/10/2022
Banyak kajian telah menunjukkan kebaikan Omega 3 terutamanya EPA dan DHA dalam mengurangkan risiko penyakit kardiovaskular seperti tekanan darah tinggi dan dapat mengurangkan jumlah lipid yang tinggi di dalam darah.
Penyelidikan secara epidemiologi di dalam populasi masyarakat yang sering mengambil ikan seperti masyarakat Inuit di Greenland dan masyarakat Jepun sejak tahun 1970-an membuktikan kadar serangan jantung dan risiko penyakit jantung yang rendah dalam masyarakat tersebut.
Kajian pemerhatian selaras dengan tinjauan sistematik dan kajian meta analisis membuktikan bahawa pengambilan ikan yang lebih tinggi dan makanan yang telah ditambah oleh Omega 3 dikaitkan dengan risiko serangan jantung yang lebih rendah dan kematian mengejut disebabkan penyakit jantung.
Selain daripada itu, kajian klinikal juga telah membuktikan bahawa dengan pengambilan Omega 3 dapat mengurangkan risiko penyakit jantung seperti penyakit aritmia (arrhythmia), dapat merendahkan jumlah trigliserida di dalam darah dan mengurangkan tekanan darah tinggi.