26/12/2025
Hak Pesakit Mental di Malaysia: Perlindungan Undang-Undang dan Peranan Pusat Advokasi Rakyat
Dalam masyarakat hari ini, masih wujud tanggapan salah bahawa pesakit mental tidak mempunyai hak undang-undang yang sama seperti orang lain. Akibatnya, ramai pesakit mental menjadi mangsa penderaan fizikal, emosi, pengabaian malah dikurung dan dizalimi oleh ahli keluarga, rakan-rakan atau majikan.
Hakikatnya, pesakit mental berhak untuk dilindungi oleh undang-undang Malaysia. Penyakit mental bukan lesen untuk mendera dan pesakit mental bukan kehilangan hak untuk mendapatkan keadilan. Artikel ini menerangkan secara menyeluruh tentang:
•Akta dan undang-undang yang melindungi pesakit mental.
•Bentuk penderaan yang diiktiraf oleh undang-undang.
•Langkah-langkah yang perlu diambil jika dianiaya.
•Hak untuk memfailkan tuntutan saman sivil dan perlindungan mahkamah.
•Peranan Pusat Advokasi Rakyat dalam membantu mangsa.
1. Akta & Undang-Undang Yang Melindungi Pesakit Mental
1.1 Akta Kesihatan Mental 2001 (Akta 615)
Ini ialah akta utama yang secara khusus melindungi pesakit mental di Malaysia. Antara prinsip penting ialah:
•Pesakit mental mesti dilayan dengan maruah, kemanusiaan dan hormat.
•Rawatan dan penahanan tidak boleh dibuat sesuka hati.
•Pesakit tidak boleh didera, diabaikan atau dizalimi.
•Sebarang pengekangan fizikal atau kimia hanya dibenarkan secara terhad dan berasaskan perubatan.
•Keluarga tidak mempunyai kuasa mutlak ke atas pesakit mental.
1.2 Kanun Keseksaan (Akta 574)
Pesakit mental mestilah dilindungi sepenuhnya di bawah undang-undang jenayah. Jika dianiaya, pelaku boleh disiasat di bawah akta:
•Seksyen 323/324/326 – Mencederakan.
•Seksyen 342 – Salah kurung (dikunci, diikat, diasingkan).
•Seksyen 354/377 – Gangguan atau penderaan seksual.
•Seksyen 506 – Ugutan jenayah.
Status “pesakit mental” tidak menghalalkan sebarang penderaan.
1.3 Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 (Akta 521)
Jika penderaan dilakukan oleh:
•Ibu bapa
•Pasangan
•Adik-beradik
•Penjaga
Pesakit mental akan diiktiraf sebagai mangsa keganasan rumah tangga dan penderaan yang meliputi kecederaan fizikal, emosi & psikologi, pengabaian, kurungan dan ugutan akan disiasat dibawah akta ini.
1.4 Akta Orang Kurang Upaya 2008 (Akta 685)
Pesakit mental boleh diklasifikasikan sebagai OKU (Orang Kurang Upaya) mental/psikososial. Akta ini menegaskan tentang perlindungan daripada diskriminasi, hak kebajikan dan keselamatan serta akses kepada bantuan dan sokongan institusi perundangan.
2. Bentuk Penderaan Yang Selalu Berlaku (Dan Sebenarnya Menyalahi Undang-Undang)
Ramai yang tidak sedar, perkara berikut BOLEH menjadi kes jenayah atau sivil:
•Mengurung pesakit di dalam bilik atau rumah.
•Mengikat, merantai atau mengawal mereka secara fizikal.
•Memukul atas alasan “kawal”
•Menghina, memaki atau menakut-nakutkan.
•Tidak memberi ubat atau rawatan yang betul.
•Mendedahkan pesakit kepada tekanan melampau di tempat kerja.
3. Langkah-Langkah Jika Pesakit Mental Dianiaya
a) Langkah 1: Dapatkan Rawatan & Keselamatan
•Bawa ke hospital kerajaan/klinik kesihatan dan dapatkan laporan perubatan daripada doktor atau pengawai perubatan (medical assistant). Pastikan rekod perubatan yang diterima lengkap menyatakan status kesihatan mangsa.
b) Langkah 2: Buat Laporan Polis
•Laporan polis hendaklah dibuat segera selepas mendapat maklumat lengkap daripada doktor dan laporan boleh dibuat oleh pesakit sendiri (jika mampu), wakil sah seperti kawan yang boleh dipercayai atau ahli keluarga yang tidak terlibat serta pihak badan bukan kerajaan (NGO).
c) Langkah 3: Libatkan JKM & Pihak Berkaitan
•Laporkan juga kepada pihak yang berkaitan agar kes ini mendapat liputan. Antara pihak berwajib yang perlu diberitahu ialah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Pegawai perubatan dan NGO kesihatan mental.
4. Hak Pesakit Mental Untuk Memfailkan Tuntutan Saman Sivil
Pesakit mental tidak hilang hak mereka dalam institusi perundangan maka mereka boleh membuat tuntutan saman sivil di mahkamah. Jika pesakit stabil & berkeupayaan, mereka sendiri boleh memfailkan tuntutan saman dan jika pesakit tidak berkeupayaan, saman boleh dibuat melalui wakil sah yang dipanggil sebagai litigation friend atau next friend menurut undang-undang.
Siapakah yang boleh disaman? Ahli keluarga, penjaga, rakan, majikan atau mana-mana individu yang terbukti melakukan penderaan kepada pesakit. Perlu diingat bahawa hubungan kekeluargaan BUKAN imuniti undang-undang mutlak untuk memulakan penderaan kepada pesakit mental.
Pesakit mental boleh membuat beberapa jenis tuntutan sivil di mahkamah iaitu:
I. Assault & Battery (Ancaman & Serangan Fizikal)
Assault and battery merupakan dua jenayah berasingan tetapi sering disebut bersama: Assault (Serangan) ialah perbuatan membuat seseorang takut secara munasabah akan mengalami kekerasan fizikal segera (ancaman) manakala Battery (Pukulan/Sentuhan Salah) ialah sentuhan fizikal yang tidak menyenangkan atau berbahaya yang sebenar berlaku kepada pesakit tanpa keizinan. Secara mudah, assault ialah ancaman yang menimbulkan ketakutan dan battery adalah tindakan fizikal yang berlaku.
II. False Imprisonment (Penahanan Salah)
False imprisonment bermaksud penahanan salah yang merujuk kepada tindakan penahanan seseorang tanpa kebenaran atau sebab yang sah mengikut undang-undang, sehingga menyebabkan individu tersebut kehilangan kebebasan untuk bergerak atau keluar dari suatu kawasan.
III. Negligence (Kecuaian/Pengabaian)
Negligence bermaksud kegagalan seseorang untuk bertindak dengan berhati-hati dan sewajarnya sehingga menyebabkan kerosakan atau kemudaratan kepada orang lain dan melibatkan elemen seperti wujudnya tugas penjagaan, pelanggaran tugas, hubungan sebab-akibat, serta kerosakan sebenar yang dialami.
IV. Psychological/Emotional Harm (Kemudaratan Psikologi/Emosi)
Psychological atau Emotional Harm merujuk kepada sebarang corak tingkah laku yang disifatkan sebagai penderaan mental bagi tujuan merosakkan kesejahteraan emosi, psikologi atau kognitif seseorang, sering kali menyebabkan trauma atau menjejaskan perkembangan diri dan keyakinan. Ia melibatkan kecederaan "tidak kelihatan" melalui manipulasi, ancaman dan kawalan. Ia juga dikenali sebagai Mental Abuse (Penderaan Mental).
Pesakit juga boleh menuntut ganti rugi kewangan, kos rawatan dan terapi, ganti rugi penderitaan serta perintah injunksi oleh mahkamah terhadap pelaku iaitu larangan mendekati atau mendera pesakit.
5. Perlindungan Oleh Mahkamah
Mahkamah melalui kuasa yang diperuntukkan oleh undang-undang boleh mengeluarkan perintah perlindungan, melantik wakil yang sah, menghalang pelaku mendekati mangsa dan memastikan rawatan dan kebajikan pesakit terjamin.
6. Peranan Pusat Advokasi Rakyat
Pusat Advokasi Rakyat memainkan peranan yang penting sebagai jambatan antara mangsa dan sistem perundangan, khususnya bagi pesakit mental yang tidak tahu akan hak-hak mereka dalam institusi perundangan, tidak berani bersuara atau tidak mampu berurusan dengan institusi sendiri. Antara peranan utama Pusat Advokasi Rakyat adalah:
•Memberi penerangan hak undang-undang.
•Membantu menilai kes penderaan.
•Membantu penyediaan laporan dan dokumentasi.
•Merujuk mangsa kepada peguam, hospital, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta NGO yang berkaitan.
•Memastikan mangsa tidak disenyapkan atau ditindas.
7. Kesimpulan
Pesakit mental bukan lah manusia kelas kedua. Mereka juga ada hak dalam mendapatkan perlindungan dan keadilan, sama seperti individu sihat yang lain. Penyakit mental bukan alasan untuk mendera. Undang-undang wujud untuk melindungi, bukan menutup kezaliman.
Kesedaran masyarakat dan sokongan institusi seperti Pusat Advokasi Rakyat amat penting supaya tiada lagi pesakit mental yang dizalimi dalam diam. Hubungi Pusat Advokasi Rakyat segera sekiranya anda merupakan salah seorang daripada pesakit mental yang sedang menghadapi masalah berkaitan dengan penderaan dan dinafikan hak untuk mendapatkan perlindungan oleh undang-undang.