29/06/2022
[SIARAN MEDIA]
UNTUK LIPUTAN MEDIA MASSA
GAGAL MEMBUAT PENAKSIRAN RISIKO BAHAN KIMIA BERBAHAYA KEPADA KESIHATAN, MAJIKAN DIDENDA RM5,000.00
W.P. Labuan, 24 Jun 2022 – Hakim Mahkamah Majistret Wilayah Persekutuan Labuan, Yang Arif Kasyfurrahman Bin Abang Ahmad telah menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM5,000.00 atau 6 bulan penjara jika gagal berbuat demikian terhadap Kejuruteraan Mega Niaga Sdn Bhd selepas mengaku bersalah ke atas pertuduhan gagal membuat penaksiran bertulis mengenai risiko yang terhasil daripada bahan kimia iaitu Hardtop AX Comp A atau cat, Hardtop AX Comp B atau pengeras, Pilot II atau cat, dan CHT711 atau rod kimpalan arka kepada kesihatan pekerja, lebih kurang jam 10.00 pagi bertempat di Lot 8, Tapak IKS, Jalan Rancha-Rancha 87008, Wilayah Persekutuan Labuan.
Majikan iaitu Kejuruteraan Mega Niaga Sdn Bhd telah melakukan kesalahan di bawah Peraturan 9(1), Peraturan-Peraturan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Penggunaan dan Standard Pendedahan Bahan Kimia Berbahaya Kepada Kesihatan) 2000 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 51, Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.
Pendakwaan telah dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa dari Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) W.P Labuan, Puan Azlita Binti Aziz dan dibantu oleh Tuan Syed Mohd Puad Bin Syed Ishak. Kes tersebut disiasat oleh pegawai dari JKKP W.P. Labuan, Encik Shairazy Bin Alluwie dan dibantu oleh Encik Muhamad Rahmad Bin Rojahan.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Peraturan 9(1), Peraturan-Peraturan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Penggunaan dan Standard Pendedahan Bahan Kimia Berbahaya Kepada Kesihatan) 2000 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 51, Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 dan apabila disabitkan, boleh didenda tidak melebihi sepuluh ribu ringgit atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya dan, dalam hal kesalahan yang berterusan, boleh didenda tidak melebihi satu ribu ringgit bagi tiap-tiap hari atau sebahagian daripada sehari semasa kesalahan itu berterusan selepas sabitan.
# # #
Dikeluarkan oleh:
Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan W.P. Labuan
28 Jun 2022