08/10/2026
Pesta Buku UiTM Edisi Sulung Buka Tirai, Cetus Gelombang Pembudayaan Ilmu
Oleh : Sarah Noorman
SHAH ALAM, 7 OKTOBER - Mengangkat tema “Pembudayaan Ilmu, Memperkasa Komuniti”, Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR) UiTM bakal melukis sejarah baharu apabila menganjurkan Pesta Buku UiTM buat julung kalinya di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, UiTM Shah Alam pada 8 dan 9 Oktober ini.Pengerusi Pesta Buku UiTM 2026, Ahmad Zuber Mohamed berkata, penganjuran program ini merupakan satu hasrat yang sudah lama direncanakan oleh pihak penganjur.
"Pesta buku ini sudah lama kami ingin laksanakan, dan kali ini kita berjaya mendapat kerjasama padu daripada Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS), Bahagian Hal Ehwal Islam, Bahagian Perkhidmatan dan Pembangunan OKU UiTM (U-DserveD), serta Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) bagi memastikan Pesta Buku UiTM ini mencapai matlamat utamanya iaitu membudayakan ilmu.
“Penganjuran pesta buku berkenaan merupakan salah satu daripada 16 strategi yang digariskan di bawah Garis Panduan Budaya Ilmu Universiti Awam”, katanya ketika ditemu bual oleh Radio UFM UiTM.
Beliau berkata, garis panduan tersebut merangkumi enam inisiatif utama yang mana salah satu daripadanya ialah perkongsian ilmu, yang digerakkan menerusi jawatankuasa ilmu di bawah pimpinan Ketua Perpustakaan UiTM, Ts. Haji Azizi Haji Jantan.Acara edisi sulung ini melakar sejarah tersendiri dalam menyemarakkan budaya membaca dan wacana intelektual di peringkat universiti mahupun masyarakat setempat.
Penganjuran pesta buku ini mengangkat tema daripada slogan PTAR UiTM iaitu Pembudayaan Ilmu Membentuk Adiwangsa yang selari dengan peranan perpustakaan masa kini yang perlu bergerak lebih dinamik, sekali gus menjadikan PTAR UiTM sebagai platform utama bagi menyatupadukan warga kampus dan komuniti luar.
Mengulas mengenai keistimewaan program, Timbalan Ketua Pustakawan PTAR UiTM, Dr. Mohd Ismail Abidin berkata, pesta buku kali ini menampilkan kelainan tersendiri menerusi kehadiran U-DServeD.“Kelainan istimewa yang dibawakan ialah dengan kehadiran U-DeserveD, di dalam satu slot iaitu bahasa isyarat, itu adalah antara pengisian yang menarik di Pesta Buku UiTM esok,” katanya.Beliau juga berkata , penganjuran ini bertujuan mendekatkan universiti dengan masyarakat menerusi siri wacana ilmu bersama tokoh-tokoh hebat tempatan.
Pesta buku selama dua hari ini menampilkan tujuh program utama, antaranya Telaah Mega, perkongsian ulasan buku, Wacana Karya Agung Islam dan Sekularisme yang disampaikan oleh Dr. Muhammad Shafiq dari Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), program Literasi Al-Quran, Tadabbur Al-Quran dan Berzanji, program Kopi dan Buku, Wacana Madani, serta Talaqqi Mega bersama Timbalan Mufti Negeri Selangor.
Pesta buku ini juga bertekad mendekatkan budaya ilmu ke hati masyarakat menerusi siri wacana bersama tokoh-tokoh hebat dan penyertaan pelajar sekolah dan orang awam adalah sangat digalakkan.