15/05/2023
Jika sesuatu kawasan dipenuhi dengan kelkatu pada waktu malam, keesokan harinya pasti kawasan tersebut dipenuhi dengan sayap serangga itu – tanpa badan.
Tapi kemana hilangnya badan makhluk itu? Sebelum menjawab lanjut tentang persoalan ini, kita terokai terlebih dahulu dari mana datangnya serangga bersayap ini.
1)Kelkatu = Anai-anai
Ini mungkin satu hakikat yang sukar ditelan, tapi ya, kelkatu merupakan anai-anai. Menyelusuri lanjut mengenai haiwan unik ini, mari kita masuk dahulu tentang kitaran hidup anai-anai.
Anai-anai merupakan haiwan yang unik kerana mereka ini disifatkan sebagai haiwan yang bagus dari segi sosialnya. Ini kerana mereka mempunyai kasta dan setiap jenis kasta mempunyai tujuan masing-masing. Dalam setiap koloni anai-anai akan ada pekerja, askar, dan pembiak berserta dengan raja dan ratu.
Kehidupan anai-anai bermula dari telur yang akan bertukar menjadi larva. Larva ini kemudian akan bertukar menjadi sama ada pekerja atau askar atau menjadi pembiak. Penjelasan lanjut mengenai perkembangan larva anai-anai agak panjang dan kompleks, jadi kita ringkaskan sampai di situ saja.
2) Askar dan pekerja
Anai-anai pekerja secara ringkasnya membuat kerja-kerja seharian dalam dunia anai-anai; termasuklah menjaga ratu, membaiki sarang, memberi anai-anai kasta lain makan, menjaga telur dan mencari makanan. Biasanya, tugas-tugas ini dibahagikan mengikut umur dan juga saiz anai-anai pekerja. Anai-anai inilah yang selalu anda lihat memakan kayu.
Anai-anai berkasta askar p**a mempunyai satu tujuan sahaja – iaitu untuk melindungi koloninya. Mereka ini ‘pakar’ dalam pertahanan. Cara untuk mengenalpasti anai-anai askar adalah dengan melihat ‘mandible’ atau pengepit di hujung kepala.
Bagaimanapun, kedua-dua jenis anai-anai ini mempunyai satu persamaan iaitu mereka buta. Mereka berkomunikasi menggunakan signal kimia dan juga getaran yang dihasilkan melalui hentakan kepala.
3) Pembiak
Selepas peringkat larva, anai-anai kasta pembiak akan bertukar menjadi nymph dan seterusnya akan melalui proses molting sebelum menjadi matang – a.k.a kelkatu. Kelkatu amat jarang dihasilkan. Malah, masa untuk satu-satu koloni mula menghasilkan kelkatu mungkin lebih dari empat tahun – berbeza mengikut spesis dan koloni.