27/12/2025
20 tahun TUNGGU nak Umrah.
=========================
Kali pertama hati aku terdetik nak ke Mekah buat umrah & ke Madinah ziarah Rasulullah s.a.w bila jiran yang juga sahabat aku pergi umrah selepas kematian isterinya. Waktu itu dia cuma cakap, "aku nak mengadu pada Allah dekat Kaabah sebab jiwa aku tengah kacau & serabut" ujar sahabatku.
Tahun 2004 aku sudah pun beberapa tahun berada di KL mencuba nasib tinggalkan kampung halaman untuk mencari rezeki. Aku dan sahabatku tinggal berjiran di Ruvena Villa, Puchong Selangor. Ketika isteri tercinta sahabatku ini meninggal dunia kerana keguguran, aku ikut hantar sampai ke kampung arwah di Batu Pahat. Dia nampak tenang dengan senyuman tak lekang di bibir.
Di satu kesempatan kami duduk mengeteh di kedai makan Ashraf. "Yop, aku nak pergi umrah. Berkat doa mak aku, Alhamdulillah aku dapat offer buat video umrah untuk syarikat Shahid Travel" bersinar wajah sahabatku ini bercerita dengan gembira.
"Aku ni bukanlah berduit sangat, tapi Alhamdulillah rezeki dijemput ke Baitullah sudah masuk kali ke8 tanpa aku perlu bayar. Itulah bukti Allah swt boleh jemput sesiapa pun yang dikehendaki, bukan kerana orang tu banyak duit. Caranya kitalah yang kena mintak sungguh² dengan Allah agar dijemput ke sana." Ujar sahabatku lagi.
Terngiang-ngiang ayat sahabat ini di kotak mindaku yang pada waktu itu juga sedang serabut akibat kesan dari sikap terburu-buru nafsuku yang "gila kereta" sampai dibelenggu hutang kad kredit. Tak lama lepas tu surat senarai hitam dari Jabatan Insolvensi pun sampai. Aku teruskan hidup di KL yang semakin mendesak berbekalkan tulang 4 kerat & kudrat yang Allah swt bagi.
Bila anak bertambah masuk sekolah, keadaan hidup aku bertambah terhimpit. Akhirnya selepas Almarhumah Mak Mertua meninggal dunia, aku ambil keputusan pulang ke kampung isteri & tinggal di rumah peninggalan Arwah di Teronoh sebagai mana hasrat terakhirnya yang maukan isteriku balik tinggal di rumah pusakanya.
Aku masih tak putus hubungan dengan sahabat baik yang mengajak aku teruskan berdoa minta Allah swt jemput ke rumahnya di Baitullah, tak kira macam mana sekalipun keadaan hidup kita. Bila ada kesempatan kami berbual di telefon. Ada juga sahabat datang menziarahi aku di Teronoh.
Alhamdulillah, rezeki berniaga nampak menjadi di Teronoh. Aku berniaga pasar malam & pasar pagi. Tak sia-sia aku dan isteri berusaha cari resepi untuk buat Durian crepe hingga kami mampu jual di sekitar Teronoh. Aku pun mula membayar hutang secara konsisten. Waktu itu juga aku mulakan tabungan untuk Umrah sedikit demi sedikit.
2025 akhirnya sampai surat, "Urusan Seri Paduka Baginda" ke rumah Mak aku di Ipoh. Aku balik Ipoh ambil surat lepas Mak telefon, "ada surat dari kerajaan untuk kamu sampai di rumah. Bila kamu nak balik ambik?". Kalau tak esok, lusa Jai balik ya Mak. Jawabku ringkas.
Saat aku buka & baca Surat pelepasan bangkrap dari Jabatan Insolvensi, berderai airmata jantan ku tak mampu ku tahan. "Mak... Doakan Jai nak pergi Mekah ya" Aku peluk Mak sungguh². Dalam kepala aku masa tu nak pergi buat passport & setkan nak pergi umrah dengan Sahabatku yang mengajak aku Umrah 20 tahun dulu.
Alhamdulillah. Terima kasih ya Allah atas segala nikmat yang Dikau limpahkan. Kurang 3 bulan sebelum Sahabatku muktamadkan keputusan nak umrah hujung tahun 2025, hati aku makin hari makin meruntun sangat nak sampai depan Kaabah & ziarah Rasulullah s.a.w di Madinah. Terkadang nampak video yang ada Kaabah & dengar selawat pun aku boleh menangis sorang².
Akhirnya tanggal 6 Disember yang lalu kami berangkat ke Mekah bersama 20 orang jemaah umrah yang dipimpin oleh sahabatku. Aku beli tiket sendiri sebab nak tambah 10 hari lagi lepas jemaah semua balik ke Malaysia. Alhamdulillah sahabatku Mutawif pun tak balik untuk temankan aku di Mekah.
Terlalu banyak RAHMAT ALLAH swt yang aku dapat rasakan secara peribadi sepanjang 20 hari di Taif, Mekah & Madinah. Ada yang sampai tak mampu aku nak ucapkan dengan kata². Semuanya terlalu berharga buat diriku yang kerdil hina lagi pendosa ini. Ya Allah... Sungguh Dikau Maha Segalanya buatku Ya Rabbi. Sungguh BENAR segala kasih sayang Mu ya Rahman ya Rahim ya Rabbal Alamin.