30/09/2022
Awas! Carbofuran, Chlorpyrifos memberi kesan toksid terhadap manusia
Kempen Pengharaman Racun Perosak Carbofuran dan Chlorpyrifos untuk Sektor Pertanian yang akan berkuat kuasa pada 1 Mei 2023 merupakan program yang amat penting kepada semua pihak berkepentingan. Sehubungan itu, semua pihak harus bersedia dan mengambil tindakan serta langkah- langkah pencegahan kepada penggunaan, pengilangan, penjualan serta pengedaran racun perosak carbofuran dan chlorpyrifos.
Menurut Nor Sam Alwi,Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan & Regulatori) Jabatan Pertanian, selain dari sekuriti makanan, isu keselamatan makanan juga sering menjadi topik utama yang dipandang serius oleh Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI). “Pengeluaran hasil pertanian yang selamat dan berkualiti akan mengambil kira aspek kebajikan, keselamatan, kesihatan pekerja dan pemeliharaan alam sekitar. MAFI melalui Jabatan Pertanian sangat mengalakkan petani mengamalkan Amalan Pertanian Baik (APB) di ladang melalui pensijilan myGAP dan myOrganic agar hasil pertanian yang berkualiti dan selamat dapat dihasilkan untuk memenuhi keperluan pasaran tempatan dan eksport,” jelas beliau lagi.
Menurutnya lagi, Lembaga Racun Makhluk Perosak (LRMP) selaku urus setia dalam melaksanakan Akta Racun Makhluk Perosak 1974 dari semasa ke semasa telah mengkaji dan melihat perkembangan antarabangsa dalam industri racun makhluk perosak dengan berpandukan kepada tindakan yang diambil oleh negara-negara maju serta syor daripada pertubuhan antarabangsa demi kepentingan negara.
“Sehubungan itu, LRMP telah mengambil keputusan untuk membatalkan pendaftaran racun makhluk perosak carbofuran dan chlorpyrifos untuk kegunaan sektor pertanian di negara ini bermula pada 1 Mei 2023,” tegas beliau lagi.
Kempen Pengharaman Racun Perosak Carbofuran dan Chlorpyrifos untuk Sektor Pertanian pada hari ini disempurnakan oleh YBrs Puan Azah Hanim Ahmad, Timbalan Ketua Setiausaha MAFI.
Turut hadir YBhg. Dato' Eliyas Saad, Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Industri & Pengembangan),YBrs. Puan Nor Sam Alwi, Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan & Regulatori) serta pegawai-pegawaiJabatan Pertanian Malaysia.