31/05/2024
SAHABAT adalah orang yang sangat rapat dengan kita, tidak memiliki hubungan darah atau keluarga. Sahabat adalah seorang yang sangat kita percayai, penyimpan aib dan rahsia kita dari pengetahuan orang lain. Sahabat tidak perlu dari golongan bangsawan, hartawan, jelitawan dan sebagainya. Sahabat dalam Islam adalah saling mengingatkan kita kepada Allah S.W.T, menegur kita ketika kita salah, membela kita ketika kita tidak bersamanya dan sahabat juga sentiasa ada bersama kita di saat kita s**a atau sedang berduka. Manusia adalah makhluk sosial, yang tidak boleh hidup tanpa manusia lainnya.
Di dalam perjalanan kehidupan menuju Allah S.W.T, kita memerlukan seseorang sebagai pendamping atau sahabat. Dan Nabi S.A.W melarang seseorang untuk melakukan perjalanan jauh (safar) bersendirian tetapi bersama beberapa orang sehingga lebih aman dan boleh saling mengingatkan mengenai kebaikan dan melarang dari melakukan kemungkaran di sepanjang perjalanan.
Rasulullah S.A.W bersabda yang maksudnya:
“Orang yang safar sendirian adalah syaitan, yang berdua adalah dua syaitan dan yang bertiga maka itulah orang yang safar yang sebenarnya.”
(Hadis Riwayat Malik dalam al Muwatha, Abu Daud dan at Tirmizi dihasankan al Albani dalam Shahih Abu Daud)
Kalau perjalanan kehidupan di dunia sahaja, Nabi S.A.W menyuruh berteman apalagi perjalanan menuju Allah S.W.T. Perjalanan itu panjang sekali dan banyak tentangan, fitnah dan godaannya. Rasulullah S.A.W ketika hijrah, beliau tidak sendirian tetapi beliau berteman. Jadi perjalanan menuju Allah S.W.T, teman itu diperlukan disebabkan dengan dua hal di bawah.
Yang pertama, sebagai pembimbing atau guider, penunjuk jalan. Kenapa perlukan seorang guider? Sebab kita tak tahu jalannya. Hal ini sering kita lihat bila kita mengikuti mana-mana kembara ke luar negara, contohnya Haji atau Umrah. Setiap kumpulan jemaah mesti ada seorang guider atau dikenali sebagai mutawif dan dia juga sebagai pembimbing menceritakan setiap tempat yang kita lawati. Guider inilah teman kita sepanjang perjalanan itu atau di sepanjang kembara kita menuju destinasi yang dituju. Begitu juga dengan hijrah Rasulullah S.A.W, Rasulullah ditemani oleh Sahabat-sahabat yang berperanan mengikut sudut mana mereka diamanahkan sehinggalah akhirnya Rasulullah berjaya sampai ke Madinah.
Yang kedua sahabat. Sahabat yang mendampingi dan bersama kita di sepanjang perjalanan. Sahabat itu tidak perlu seorang yang alim tetapi sahabat yang sehati, yang memahami dan s**a pada apa yang kita s**a walaupun mungkin ada berbeza pendapat dalam sesuatu hal. Sahabat yang sama-sama tujuan menuju kepada Allah S.W.T. Dan sahabat yang dapat bersama-sama meningkatkan mood baik, dapat melepaskan dari tekanan kesulitan dalam perjalanan, meningkatkan rasa percaya diri dan dihargai dan sama-sama melindungi antara satu sama lain kerana Allah S.W.T. Saat s**a dan duka diharungi bersama tanpa mengharapkan balasan.
Peranan sahabat sangat penting di dunia dan akhirat. Kenapa? Kerana sahabat yang beriman dan bertakwa itu dapat memberikan syafaat di akhirat kelak. Nabi S.A.W menceritakan mengenai keuntungan hasil sebuah persahabatan di hari kiamat nanti, Beliau bersabda mengenai kebaikan memiliki Sahabat yang bermaksud:
“Setelah orang mukmin itu terbebas dari neraka dan masuk ke syurga, demi Allah S.W.T, Zat yang jiwaku berada di tangan-Nya, sungguh kalian begitu gigih dalam memohon kepada Allah S.W.T untuk memperjuangkan nasib saudaranya yang berada di dalam neraka pada hari kiamat. Mereka memohon, “Wahai Tuhan kami, mereka (Yang masih tinggal di neraka) pernah berpuasa bersama kami, solat dan juga haji.”
“Maka dijawab oleh Allah S.W.T, “Keluarkan (Dari neraka) orang yang kalian kenal.” Sehingga wajah mereka diharamkan untuk dibakar oleh api neraka. Mukminin ini pun mengeluarkan ramai saudaranya yang telah dibakar sampai betisnya dan ada yang sampai lututnya.
“Kemudian orang-orang mukmin itu menyatakan kepada Allah, “Wahai Tuhan kami, orang yang Engkau perintahkan untuk dibebaskan dari neraka, sudah tidak ada yang berbaki.”
“Maka Allah berfirman, “Kembali lagi (ke neraka), keluarkan yang masih memiliki iman seberat dinar.” Maka dikeluarkanlah orang mukmin dalam jumlah yang ramai yang diseksa di neraka. Kemudian mereka menyatakan kepada Allah, “Wahai Tuhan kami, kami tidak meninggalkan seorang pun orang yang Engkau perintahkan agar dibebaskan.”
(Hadis Riwayat Muslim)
-Harakah Daily