11/01/2020
Sebuah cerpen yang direka untuk dihantar ke sebuah majalah, tapi tak jadi. Jadi penulis membuat posting di page Bukit Gambang Lavender Sweet Homestay untuk bacaan. Harap sudi membaca. Terima kasih.
Suatu fiksyen:
Lavender, Kek Batik Blueberry dan Dia
Karya: A.A
Naufal menerima cadangan itu dengan mata terkebil-kebil. Matanya tak lepas memandang Kak Ngahnya dan abang iparnya. Mulutnya masih terkunci. Tidak dapat memberi jawapan kepada cadangan itu.
“Tapi Angah, aku ada program lain hujung minggu ni,” akhirnya dia bersuara. Namun tindak balasnya dipandang sepi Kak Ngahnya. Abang iparnya turut membisu.
“Alah, sekejap jer Naufal, hari sabtu jer,” balas Kak Ngahnya.
“Tapi..” Dia cuba menyambung. Tapi cepat-cepat dipintas Kak Ngahnya.
“Takda tapi-tapi dah. .Tolong la Angah..kau seorang jer boleh tolong ni..rugi Angah tolak ni..” Sedikit kendur nada Kak Ngahnya. Seolah merayu simpati.
“Emmm..ok la..aku tolong..tapi sehari jer tau..Sabtu jer…” Akhirnya Naufal mengalah. Mana dia ada pilihan. Kak Ngahnya itu kalau dia kata A, maka A lah jawabnya. Kalau B, B lah. Tak akan jadi C.
“Ishh..menyesal pulak aku singgah bermalam di rumahnya, “ Naufal merungut. Sepatutnya dia meneruskan sahaja perjalanannya ke Kuala Lumpur untuk program reunion rakan –rakan satu universitinya. Programnya dijadualkan pada Ahad. Dia sengaja bertolak awal sebab kebetulan hendak mengunjungi sahabat lama di Kuala Lumpur. Tetapi saat akhir dia membuat keputusan untuk singgah di rumah Kak Ngahnya di Gambang, Kuantan. Kononnya dapat lah dia merehatkan tubuhnya satu malam setelah memulakan perjalanan dari Kuala Terengganu. Sudahnya dia terpaksa menguruskan homestay kak Ngahnya pada keesokannya.
“Ala..bukan susah sangat..nanti bila pelanggan sampai, kau tolong bagi kunci rumah kat dia..lepas tu ambil bayaran pelanggan..Nanti bila dia nak check out, kau ambil balik kunci dan bagi balik bayaran deposit”, sambung Kak Ngahnya sambil tersenyum. Naufal hanya memandang sambil mengangguk. Senyuman Kak Ngahnya begitu tawar di matanya. Lantas tangannya mencapai kek berwarna serba ungu yang dihidang Kak Ngahnya sejak tadi. Tertera di atas kek itu logo syarikat pengeluar yang dilukis menggunakan bahan perwarna kek. Purplelicious Cake. Oh, pengeluar kek yang popular ni..Unik dan sedap, katanya dalam hati.
Naufal memandang kosong segugus kunci yang diberikan padanya. Tertulis jelas perkataan Bukit Gambang Lavender Sweet Homestay pada keychain yang berbentuk bunga lavender. “Cantik,”tak semena-mena dia berkata sendiri.
“Pandai Kak Ngah aku ni tempah keychain ni.”Sambungnya lagi. Dia memandang segenap ruang tamu rumah semi D milik Kak Ngahnya. Setengah jam yang lepas kakak dan abang iparnya telah beredar untuk memenuhi program pejabat abang iparnya.
Jam menginjak ke pukul 11 pagi. Mata Naufal tertancap pada skrin telefon bimbit kakngahnya setelah mendengar nada dering whatsaap. Memang sengaja kakngahnya meninggalkan telefon bimbit yang dikhaskan untuk urusan homestaynya kepada Naufal. Tertera nama Customer 70.
“Wow dasyat kakak aku ni, baru bukak homestay dah 70 orang customer!”Bisiknya berbaur kagum. Dia percaya, 70 itu bermaksud pelanggan ke-70.
“Assalamualaikum sis..”
“Waaikumussalam customer 70…”
“???”
Naufal menyedari kesilapannya. Dengan cepat dia membaca kandungan mesej whatsapps terdahulu antara kakngahnya dengan customer 70.
“Oooo Delisya..” katanya sendiri setelah menyedari nama pelanggan itu.
“Yer puan Delisya…maaf saya adik Puan Fatin. Saya yang uruskan homestay hari ni..” balas Naufal.
“Cikkk…” balas Customer 70.
“oooooo…” balas Naufal bersahaja. “Ada aku kisah,” bisiknya sendiri. Dia tersenyum sinis.
Di skrin, Naufal melihat Customer 70 yang meletakkan gambar profil kucing putih itu sedang menaip. Dan seketika kemudian..
“Begini encik..saya dan keluarga kena datang awal ke Gambang hari ni. Boleh tak saya nak check in awal sikit. Pukul 12?”
“Datang awal pulak,” rungut Naufal dalam hati.
“Boleh cik…” Naufal membalas.
“Terima kasih encik. Nanti bila dah dekat nak sampai saya beritahu,” Sambung Customer 70 lagi.
“Ok”
Masa berlalu begitu pantas dia rasa. Baru sahaja dia tengah asyik melayan rancangan pertandingan lawak di televisyen, telefon Kak Ngahnya berdering. Terdengar suara lunak di hujung talian.
“Encik, kami dah nak sampai..”
“Ok..” dia menjawab ringkas. Perasaan bercampur antara malas dan rajin. Dengan longlai dia bangun menuju ke kereta. Seketika kemudian kereta Honda Civic warna hitam itu keluar dari garaj kereta menuju homestay kakngahnya.
Tidak sampai 10 minit, Naufal sampai ke homestay kakngahnya. Terpapar jelas di papan tanda berwarna ungu di pintu pagar homestay itu, BUKIT GAMBANG LAVENDER SWEET HOMESTAY. Di antara tiang pagar tembok ada dua pokok bunga lavender yang tumbuh subur dalam pasu bunga. Tiang dan dinding tembok turut diwarnakan dengan warna ungu mengikut kepekatan warna yang berbeza. Cukup mempesonakan matanya. Dia terus membuka pintu pagar lalu terpandang bunga-bunga lavender di pasu-pasu yang tergantung cantik di kedua-dua dinding tembok. Tiba-tiba dia merasakan dirinya bertukar menjadi seorang lelaki “Mat Bunga”. Dia tersenyum sendiri.
Baru sahaja Naufal membuka pintu grail, deruman enjin kereta menerjah telinganya. Dia berpaling lalu matanya terus terfokus pada MPV Toyota Alphard berwarna putih yang baru sampai di depan homestay. Seorang lelaki dalam lingkungan usia 50an keluar dari kereta bersebelahan pemandu. Kemudian seorang perempuan yang tampak dalam usia yang hampir sama turut keluar dari tempat duduk belakang. Naufal menghampiri mereka dan menghulurkan tangan menyalami lelaki itu.
“Assalamualaikum..selamat datang ke homestay kami,” katanya berbasi-basi.
Lelaki itu menjawab salam dan tersenyum mesra. Naufal membuka pintu pagar untuk memberi laluan parkir untuk tetamu homestay Kak Ngahnya. Selesai membuat urusan pembayaran penginapan, Naufal mempersilakan mereka sekelurga menginap di homestay itu. Waktu melangkah ke keretanya, sempat dia tertoleh kepada pemandu MPV itu yang baru keluar dari kenderaannya. Seorang gadis bertudung, berpakaian serba ungu, berkulit kuning langsat, hampir tinggi dengannya. Ahh, dia tak sempat menghuraikan terperinci paras rupa gadis itu. Gadis itu terus berjalan memasuki homestay tanpa menoleh ke arahnya.
Delisya Arissa melangkah masuk ke Bukit Gambang Lavender Sweet Homestay. Sebaik kakinya memijak ruang tamu homestay, bau haruman lavender menyucuk hidungnya. Matanya terpesona saat meninjau ruang rumah itu. Sebelah kanan dinding dipasang wallpaper bercorak abstrak dan berlatarkan warna campuran ungu dan merah jambu. Sebelah kiri dinding dicatkan warna ungu lembut. Terdapat bingkai gambar bunga di kiri kanan dinding. Bunga berwarna ungu. Dia benar-benar jatuh cinta! Delisya Arissa melabuhkan tubuhnya di sofa di ruang tamu. Dia bersandar di sofa empuk itu. Matanya masih tidak lepas memerhatikan segenap ruang tamu. Rasa bahagia menjalar di segenap ruang hatinya. Dia mahu melupakan segala perkara yang menyakitkan hatinya sejak kebelakangan ini. Kesakitan yang dirasakan itu yang mendorongnya ke Bukit Gambang Lavender Sweet Homestay itu. Sebaik melihat iklan tentang homestay berkenaan di laman sosial, dia terus tak berfikir panjang untuk menempah homestay itu. Dia mahu mencari ketenangan dan menutup segala episod dukanya. Sebaik kedua-dua orang tuanya berjumpa keluarga Harriz petang nanti dan memulangkan semua barang hantaran pertunangan, maka secara rasminya dia akan bergelar bekas tunang orang. Dan secara muktamadnya dia akan menutup segala kisahnya bersama lelaki itu. Dia redha dengan hakikat antara dia dengan Harriz memang tiada jodoh. Dia telah banyak kali berusaha menyelamatkan hubungan mereka, tetapi sikap acuh tak acuh Harriz terlalu mengecewakannya. Dia nekad kali ini. Lama dia terdiam di sofa itu. Lamunannya terhenti bila ibunya duduk di sebelahnya.
“Banyak-banyak bersabar Along,” kata ibunya perlahan sambil menggosok bahu Delisya Arissa. Delisya Arissa tidak mampu berkata apa-apa. Dia lantas memeluk erat ibunya. Air matanya tumpah lagi.
Selepas makan malam Naufal menyandarkan tubuhnya ke sofa. Dia membaca whatsapp group rakan-rakan sekolahnya. Masing-masing teruja untuk berjumpa nanti. Tiba-tiba nada dering telefon bimbit Kak Ngahnya berbunyi. Dia melihat skrin telefon bimbitnya. Customer 70.
“Assalamualaikum encik..” Suara lunak di hujung talian.
“Waaikumussalam…ya boleh saya bantu, cik,” dia menjawab. Wow, sopannya aku..dia berkata dalam hati. Dia rasa lucu sendiri.
“Pintu bilik satu ni terkunci dari dalam encik,”sambung customer 70. Sedikit cemas.
Oh tidak, keluh Naufal. Dia pun tak pasti sama ada Kak Ngahnya tinggalkan kunci bilik.
“Sekejap ya cik, “ dia membalas ringkas. “Nanti saya datang”, sambungnya.
Sungguh, malam itu dia berasa terpikul batu besar atas bahunya. Sudahlah kena uruskan homestay, kena buat kerja tambahan. Memang benar jangkaannya, Kak Ngahnya terlupa meninggalkan kunci bilik. Dengan gaya berlagak seorang wira dia melangkah masuk ke dalam homestay dan bersedia mencuba untuk membuka pintu yang terkunci. Berbekalkan sekeping kad plastik keras dan dawai, dia berusaha membuka pintu itu.
“Akak saya terlupa tinggalkan kunci bilik,” jawabnya sepatah bila ditegur Encik Farok, ayah Delisya Arissa. Ekor matanya sempat mengerling kelibat gadis itu semasa Delisya Arrissa ke dapur.
Itu adalah percubaan kali ke 10. Janjinya kali ini, kalau tak berjaya dia akan mengalah. Peluh dah lama mengalir dari dahi ke p**i dan dikesatnya berkali-kali. Delisya Arissa sudah bersandar di sofa. Wajahnya pasrah. Segala barangan peribadinya terkurung di dalam bilik yang berkunci. Silapnya juga tertekan tombol pintu semasa menutup pintu bilik tadi. Sesekali matanya memandang Naufal yang berusaha gigih membuka pintu itu. Hatinya tersentuh melihat usaha pemuda itu. Naufal menumpukan segala perhatiannya untuk menyungkil pintu itu dengan kad plastik keras itu. Akhirnya kali ini pintu itu terbuka. Tapi semasa dia menolak pintu itu,tangan kanannya bergesel dengan daun pintu dan sedikit berdarah. Namun sakitnya terasa amat. Mukanya berkerut menahan sakit. Delisya Arrisa yang teruja melihat pintu bilik akhirnya terbuka, terus melangkah menghampiri Naufal.
“Encik..encik okay?” Tanya Delisya Arrisa. Wajahnya penuh simpati melihat jari-jari Naufal yang terluka.
Naufal tidak menjawab segera. Melihat gadis itu dari jarak dekat membuatkannya terlupa seketika sakitnya. Walaupun dengan reaksi yang cemas, kecantikan asli gadis itu tidak bersembunyi. Muka berbujur sirih dan beralis mata lentik. Ah, masih lagi sempat dia melengkapkan huraian paras rupa gadis itu yang tertangguh petang tadi. Sungguh dia tidak pernah mempunyai teman wanita yang istimewa. Tambahan lagi dia agak pemalu dengan perempuan. Bertentang mata seperti itu menjadikannya tidak keruan. Lalu dialihkan pandangan matanya.
“Saya okay,” kata Naufal sambil melihat jari-jarinya yang sedikit berdarah. Cuma kesan geseran di daun pintu menyebabkan tangannnya tambak sedikit lebam. Dia menahan rasa sakit dan tersenyum sedikit tatkala melihat kembali wajah gadis itu. Namun jantung yang tiba-tiba berdegup kencang dari biasa membuatkan fokus matanya terkalih lagi. Di sofa, En. Farok dan Puan Laila hanya memerhatikan Naufal dan Delisya Arrisa. Kemudian kedua-duanya saling memandang, mengangkat kening lalu tersenyum.
Malam itu Naufal sukar melelapkan mata. Dia terbayang senyuman gadis itu ketika tertoleh ke pintu homestay, sebaik sahaja meninggalkan homestay Kak Ngahnya tadi. Di Bukit Gambang Lavender Sweet Homestay, Delisya Arrisa sedang berbaring di katil. Matanya melilau ke dinding bilik yang serba ungu itu. Di dinding tengah tergantung gambar pemandangan taman bunga lavender yang indah. Sungguh tenang. Lalu matanya terpandang tombol pintu. Terbayang kelibat pemuda bertubuh sederhana, agak tinggi dan berkulit sawo matang itu berusaha gigih membuka pintu biliknya tadi. Entah kenapa dia berasa sesuatu bila terpadang mata pemuda itu. Sesuatu yang tiada pada bekas tunang pilihan keluarganya.
Pagi. Matahari mula galak bersinar. Cantik dan berseri persis kuntuman senyum seorang gadis cantik. Delisya Arrisa sudah bersiap awal lagi. Niatnya ke kedai berdekatan untuk mencari barang keperluan untuk menjayakan misinya. Ibu dan ayahnya hairan melihat perubahan Delisya Arrisa pagi itu. Dah lama kedua-duanya tidak melihat riak wajah gembira anak mereka itu sejak kebelakangan ini.
“Nak pergi mencari barang, “ringkas saja jawapan Delisya Arrisa sambil tersenyum sebaik ditegur ibunya. Matanya yang sedikit sepet persis gadis korea itu menjadi bertambah kecil bila tersenyum. Sebaik Delisya Arissa hilang dari pandangan mata bersama deruman enjin Toyata Alphard itu, kedua-dua saling berpandangan hairan. Setengah jam kemudian deruman enjin MPV itu kembali terdengar menghampiri pintu pagar bersama Delisya Arrisa yang berwajah ceria. Tanpa berlengah dia bergegas ke dapur bersama dua plastik bungkusan barangan yang dibelinya. Dia mesti melengkapkan misinya sebelum mereka mendaftar keluar nanti. Ibunya menuruti langkahnya ke dapur dan keluar semula tak lama kemudian. Rahsia, katanya dan meminta ibunya menunggu sahaja bila segalanya selesai.
Pusingan jarum jam seolah bergerak laju. Sekejap saja menginjak ke pukul 12 tengah hari. Delisya Arrisa memasukkan semua barangan mereka ke dalam kereta. Tak lama menunggu, Naufal tiba. Kedua-duanya saling berpandangan seketika dan tersenyum. Entah dari mana datang kekuatan Naufal untuk berpandangan begitu dia pun tidak tahu. Namun malunya masih bersisa. Walaupun dia seorang jurutera yang tegas terhadap staf bawahannya, namun dia tidak berani untuk bertentang mata dengan seorang wanita. Apalagi bila berdepan dengan gadis secantik Delisya Arrisa. Seusai melihat Naufal bersalaman dengan ayahnya, Delisya Arrisa menghampiri Naufal untuk menyerahkan kunci dan memberikan bungkusan plastik kepadanya.
“Apa ni cik?” Tanya Naufal. Matanya memandang Delisya Arrisa yang tersenyum menampakkan kedua-dua lesung p**itnya. Ah, senyuman dan lesung p**it itu. Jantungnya berdegup laju lagi.
“Saya Delisya Arrisa..panggil Delisya..tak payah cik-cik ni..”sambungnya lagi. Bibirnya masih tersenyum.
“Hadiah untuk encik..” sambung Delisya Arrisa.
“Naufal..pa..panggil saya Naufal..” kata Naufal sedikit tergagap. Susah betul mengawal degupan jantungnya.
“Hadiah untuk apa ni?” Tanya Naufal. Kali ini suaranya tidak lagi tersekat. Datang sedikit keyakinan untuk mengawal sifat pemalunya.
“Pasal Naufal dah tolong bukakan pintu semalam..”
“Kan itu kerja saya..”
“Tak apalah..saya ikhlas, saya kecil hati kalau Naufal tak terima..”
Naufal mengangguk sambil mengucap terima kasih. Seketika pandangan mata mereka terpaut lagi sebelum Delisya Arrisa melangkah masuk ke kereta. Kedua-dua orang tuanya berpandangan sambil mengangguk dan tersenyum.
Sebaik sampai ke rumah Kak Ngahnya, Naufal cepat-cepat melihat kandungan bungkusan plastik yang dihulurkan Delisya Arrisa tadi. Terdapat satu kotak bersaiz sedehana di dalam plastik. Dia mengeluarkan kotak itu. Dilihatnya sekeping nota yang dilipat dua dan dilekatkan di atas kotak bersama sekeping kad putih yang kecil. Lalu dibacanya kandungan nota itu.
“Assalamualaikum encik..Encik bukan saja menolong membuka pintu bilik itu, tapi berjaya menolong mengembangkan perniagaan saya. Sebetulnya malam itu, saya kena mengesahkan tempahan awal kek syarikat saya kepada satu syarikat sebagai syarat untuk mengikat kontrak sebagai pembekal. Semua maklumat syarikat itu ada kat telefon saya dalam bilik terkunci itu. Terima kasih banyak encik. Saya terhutang budi pada encik..”
Naufal tak terkata setelah membaca isi kandungan nota itu. Tak sangka sampai begitu sekali kesan usaha gigihnya membuka pintu itu. Seketika kemudian dia mengambil kad putih kecil di atas kotak itu.
“Delisya Arrisa binti Farok.
Pengarah Urusan
Purplelicious Cake, Kuala Lumpur.”
Naufal meletakkan kad itu di meja kopi. Dia tergamam bercampur kagum. Jadi Delisya Arrisa ialah pemilik syarikat pengeluar kek yang sedang terkenal dan tular dalam media sosial dek kerana kek-kek yang berwarna serba ungu dan enak. Tangannya terus membuka kotak itu. Matanya terus tertumpu kepada lima keping Kek Batik itu. Corak keknya sama, tapi lapisan warna ungu blueberry di lapisan atas dan keliling kek begitu menawan matanya. Kek ungu, katanya sendiri sambil tersenyum. Tanpa berlengah dia menyuap kek itu ke mulutnya. Rasa masam blueberry yang bersebati dengan rasa lemak manis kek menjadikan kek itu enak luar biasa baginya. Matanya terpejam menikmati kek itu. Selesai menghabiskan kek itu dia tersenyum lebar umpama membalas senyuman manis Delisya Arrisa. Dia menyandarkan tubuh di sofa. Dia teringat Delisya Arrissa. Dengan tiba-tiba jantungnya berdegup laju. "Perasaan apakah ini?" Tanyanya sendiri.
Delisya Arrisa memandu kenderaannya dengan tenang menyusuri Lebuh Raya Pantai Timur menuju Kuala Lumpur. Riak mukanya ceria. Di Hentian Rawat dan Rehat Temerloh tadi dia sempat membaca whatsapp dari seseorang.
“Assalamualaikum Delisya..Sedap sangat kek tu..Teringin nak makan lagi.. (ikon senyum) ....Hati-hati memandu..Jaga diri..”
Dia terus membalas whatsapp itu dan tersenyum sendiri. Entah kenapa dia rasa hatinya yang kosong mulai terisi.
“Jika kita redha dengan sesuatu kehilangan, Insya-Allah, Allah akan menggantikan dengan sesuatu yang lebih baik..Ibu nampak Naufal tu baik..Suka ibu tengok..” kedengaran suara ibunya di belakang. Delisya Arrisa tersenyum lagi. Kali ini mukanya berona kemerahan.
TAMAT