04/09/2021
G7: TUJUH PUNCAK TERTINGGI SEMENANJUNG MALAYSIA
Jika The Seven Summits of The World merujuk kepada tujuh puncak (gunung) tertinggi di dunia; G7 Malaysia p**a merujuk kepada tujuh gunung tertinggi dalam Semenanjung Malaysia. Initial ‘G’ pada nama tersebut merujuk kepada perkataan ‘Gunung’; manakala nombor ‘7’ p**a merujuk kepada ketinggian gunung-gunung tersebut yang kesemuanya melebihi 7,000kaki dari paras laut. Biarpun gunung dalam senarai ini tidak dapat menandingi gunung tertinggi di Malaysia iaitu Gunung Kinabalu dari sudut ketinggiannya; namun G7 tetap mempunyai cabaran teknikalnya yang tersendiri.
Hampir kesemua kedudukan G7 Malaysia terletak dalam jajaran Banjaran Titiwangsa. Lokasi ketujuh-tujuh gunung ini berada sama ada dalam kawasan negeri Pahang, Perak, atau Kelantan. G7 boleh didaki sepanjang tahun namun bergantung pada faktor cuaca yang boleh mempengaruhi teknikal pendakian. Ketujuh-tujuh gunung ini pastinya cabaran yang mengujakan buat para peminat sukan luar dan pendaki-pendaki amatur serta profesional.
Berikut merupakan senarai G7 mengikut ketinggian:
1. G1 Gunung Tahan (7,175kaki atau 2,187meter)
Gunung Tahan merupakan gunung tertinggi di Semenanjung Malaysia. Lokasinya adalah dalam Taman Negara Pahang. Terdapat tiga laluan utama untuk naik dan turun dari puncak Gunung Tahan iaitu yang pertama, dengan naik dari Kuala Tahan dan turun melalui Kuala Tahan juga; naik melalui Merapoh dan turun melalui Kuala Tahan atau sebaliknya; serta naik dan turun melalui Merapoh. Laluan dari Kuala Tahan biasanya mengambil masa selama 7 hari ulang alik berbanding laluan Merapoh yang hanya memakan masa 3 ke 4 hari sahaja.
2. G2 Gunung Korbu (7,162kaki atau 2183meter)
Gunung Korbu hanya rendah sedikit sahaja dari Gunung Tahan iaitu hanya kurang kira-kira 3meter sahaja ketinggiannya dari Tahan. Namun begitu, laluannya dikatakan lebih mencabar oleh kerana masih banyak laluan dan denai yang belum diteroka dan ditandai. Ini menyebabkan pendaki yang tidak biasa akan mudah tersesat. Gunung Korbu terletak di negeri Perak dan merupakan puncak tertinggi di Banjaran Titiwangsa yang membentuk tulang belakang semenanjung Malaysia.
3. G3 Gunung Yong Belar (7,156kaki atau 2,181meter)
Gunung Yong Belar merupakan gunung tertinggi di negeri Kelantan. Namun secara geografinya, ia terletak di sempadan antara negeri Perak, Pahang, dan Kelantan. Kedudukan gunung ini hanya 8km sahaja dari Gunung Korbu. Gunung Gayong p**a terletak bersebelahan Yong Belar. Cara untuk menawan puncaknya adalah melalui dua cara; pertama, melalui kawasan penternakan dan ladang di kaki gunung atau, mendaki satu set lebih kurang 200 anak tangga yang kemudiannya diikuti saluran paip air berwarna hitam yang menuju ke atas.
4. G4 Gunung Gayong (7,129kaki atau 2,173meter)
Gunung Gayong berada dalam negeri Perak dan hanya terletak kira-kira satu jam perjalanan dari trek puncak Gunung Korbu. Untuk sampai ke Gunung Gayong, anda perlu menawan dahulu sama ada puncak Gunung Korbu atau Gunung Yong Belar kerana kedudukan Gunung Gayong berada betul-betul di antara kedua-dua gunung tersebut. Sesetengah pendaki menawan ketiga-tiga gunung ini secara serentak dan menjadikannya sebagai pendakian Trans Titiwangsa.
5. G5 Gunung Chamah (7,123kaki atau 2,171meter)
Gunung Chamah terletak di negeri Kelantan dan merupakan antara gunung yang paling sukar diakses. Ini adalah kerana untuk menawan puncak gunung ini, anda perlu melalui kawasan hutan dara yang masih didiami haiwan liar dan buas. Kelibat gajah dan harimau sering dijumpai pada laluan ini dan anda memerlukan penunjuk arah yang berpengalaman untuk naik ke atas. Pekan terdekat adalah sejauh 40 ke 50kilometer dari lokasi ini dan anda memerlukan 3 jam perjalanan menggunakan perahu melalui Tasik Temenggur untuk berhubung.
6. G6 Gunung Yong Yap (7,113kaki atau 2,168meter)
Gunung Yong Yap terletak di sempadan antara negeri Perak dan Kelantan. Ia berada dalam kawasan Banjaran Titiwangsa. Gunung ini adalah antara yang sukar diakses oleh kerana cabaran geografi dan bentuk muka buminya. Batang pokok tumbang, rimbunan buluh tajam dan pokok duri, serta koloni serangga berbisa menanti anda. Laporan pendaki yang tersesat ketika cuba menawan gunung ini juga banyak dilaporkan. Selain itu, binatang buas seperti harimau dan gajah liar masih banyak berkeliaran. Di sebalik semua itu, Gunung Yong Yap mempunyai hutan dipterokarp bukit yang mempunyai khazanah flora dan fauna bernilai tinggi dalam dunia perubatan.
7. G7 Gunung Ulu Sepat (7,090kaki atau 2,161meter)
Gunung Ulu Sepat adalah yang paling mudah didaki antara ketujuh-tujuh gunung dalam senarai G7. Namun begitu, ia masih bukan untuk pendaki amatur. Taburan hujan yang tinggi menghasilkan pokok-pokok besar di kawasan puncak gunung ini. Gunung ini terletak di sempadan antara negeri Perak dan Kelantan.
Sumber Rujukan: allterrain.my / wildlife.gov.my
Gambar: Google.com