05/04/2022
BERITA PENGUATKUASAAN: Hukuman denda dan penjara atas kesalahan menggunakan kad pengenalan palsu dan kad pengenalan orang lain sebagai pengenalan diri.
Putrajaya, 5 April 2022 - Pasukan penguatkuasa Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Putrajaya terus bertindak dengan memastikan setiap pesalah yang telah melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 mendapat hukuman yang setimpal.
Di Mahkamah Majistret Petaling Jaya semalam, seorang lelaki warganegara Filipina telah mengaku bersalah dengan sengaja menggunakan salinan kad pengenalan palsu sebagai dokumen pengenalan diri.
Pendakwaan terhadap tertuduh dilakukan mengikut Seksyen 25(1)(e), Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 kerana memiliki salinan kad pengenalan palsu sebagai dokumen pengenalan diri dan tertuduh telah dijatuhkan hukuman 3 bulan penjara dari tarikh ditangkap.
Berdasarkan fakta kes tertuduh, Albasir Bin Langkasan, telah ditahan di sekitar Kinrara, Puchong, Selangor dalam satu operasi oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan JPN Putrajaya pada 31 Mac 2022.
Di dalam operasi tersebut, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan JPN Putrajaya telah membuat pemeriksaan ke atas 3 orang dan berjaya menahan seorang lelaki warganegara Filipina kerana disyaki menggunakan salinan kad pengenalan palsu sebagai pengenalan diri.
Sehubungan itu JPN menyeru serta ingin mengingatkan orang ramai agar sentiasa memberikan kerjasama untuk membuat aduan terus kepada pihak berkuasa bagi setiap isu penyelewengan yang dikesan agar setiap kesalahan yang dilakukan dapat diambil tindakan penguatkuasaan dan dijatuhi hukuman di mahkamah agar menjadi teladan kepada masyarakat Malaysia amnya.