29/07/2026
MANGSA HANYUT DI SUNGAI KAMPAR, GOPENG DITEMUI MENINGGAL DUNIA
Pada 28 Julai 2026, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Perak menerima panggilan kecemasan pada jam 1.45 petang berhubung kejadian seorang mangsa hanyut di Sungai Kampar berhampiran Kebun Pak Wan, Gopeng, Perak.
Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gopeng tiba di lokasi pada jam 1.57 petang selepas menempuh perjalanan sejauh 12 kilometer. Operasi diketuai oleh PBK II Arif Irfan bin Mokhtar dengan pemantauan Komander Operasi Kanan, PPgB Hemanathan A/L Subermaniam (Ketua Balai BBP Gopeng).
Mangsa merupakan seorang remaja lelaki Melayu berusia 17 tahun yang dilaporkan hanyut selepas terjun ke sungai. Rakan mangsa telah menghubungi talian kecemasan 999, manakala anggota Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia (FRAM)Tronoh yang kebetulan sedang menjalankan latihan di lokasi telah bertindak segera memulakan operasi mencari menggunakan teknik surface searching.
Mangsa berjaya ditemui dalam tempoh kira-kira 10 minit, pada jarak antara 15 hingga 20 meter dari lokasi asal beliau terjun. Setelah mangsa berjaya dibawa keluar dari sungai, anggota FRAM Tronoh bersama anggota BBP Gopeng telah memberikan rawatan awal serta melaksanakan Bantuan Pernafasan Kardiopulmonari (CPR) secara berterusan selama hampir 1 jam sehingga ketibaan pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Pegawai perubatan KKM kemudiannya mengesahkan mangsa telah meninggal dunia di lokasi kejadian. Mayat mangsa diserahkan kepada pihak PDRM untuk tindakan lanjut.
Operasi berjaya dikawal pada jam 2.55 petang dan tamat sepenuhnya pada jam 4.18 petang. Seramai 7 anggota terlibat dalam operasi dengan kekuatan logistik sebuah Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah Emergency Medical Rescue Services (EMRS).