08/03/2024
MH370: 10 tahun melerai persoalan tanpa jawapan
Mac 8, 2024 @ 8:31am
PUTRAJAYA: Sedekad lamanya dunia melontarkan persoalan sama: apa sebenarnya berlaku terhadap pesawat Boeing 777 Malaysia Airlines MH370 yang hilang dalam kepekatan malam 8 Mac 2014 tanpa kesan.
Hari ini genap 10 tahun misteri pesawat membawa 227 penumpang dari 14 negara dan 12 anak kapal warga Malaysia itu menjadi bualan dunia.
Hari ini juga, belum ada jawapan yang mampu menyembuh luka keluarga dan mengeringkan air mata waris mangsa.
Hari ini bukan pengakhirannya.
Dalam kalangan pakar penerbangan, misteri terbesar itu terus melahirkan pelbagai kemungkinan dan teori yang ada kalanya, membawa kepada lebih banyak persoalan.
Kedudukan terakhir yang diketahui bagi pesawat berkenaan ialah 6°55'15 N 103 °34' 43E, sepadan dengan 'waypoint' IGARI dan pesawat berkenaan sepatutnya mengubah laluannya sedikit ke timur.
Bekas Ketua Inspektor Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU), Kapten Datuk Yahaya Abdul Rahman, berkata apa yang berlaku selepas IGARI pada jam 1.22 pagi sebaik pegawai kawalan trafik udara (ATC) Kuala Lumpur menyerahkan tanggungjawabnya kepada Ho Chi Minh, menjadi titik tolak sejarah seterusnya.
"Sebaik melepasi titik IGARI, mungkin ada sesuatu berlaku dan juruterbang berkemungkinan cuba berpatah balik untuk mendarat selepas pesawat membelok dan terbang ke arah bertentangan.
"Penilaian saya, selepas IGARI, berdasarkan sudut ketika membelok itu, ia dilakukan oleh juruterbang yang cuba berpatah balik untuk mendarat.
"Kalau radio masih berfungsi, pasti juruterbang maklumkan apa yang berlaku, namun ini semua sekadar teori," katanya kepada BH.
Yahaya berkata, transponder terputus di IGARI mengakibatkan pesawat terbabit tidak dapat dikesan dalam radar 'secondary' sebelum dikesan semula pada radar 'primary' milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Bagaimanapun, jelasnya, keberadaan pesawat itu kurang jelas kerana tidak mengetahui jenis pesawat.
"Ia ibarat melihat nyamuk terbang dalam skrin radar.
"Akhirnya, kita mendapat maklumat mengenai keberadaan pesawat terbabit melalui 'hand shake' yang diperoleh daripada satelit Inmarsat.
"Berdasarkan data itu, kita mengetahui ia berakhir di Lautan Hindi," katanya.
Jika benar pesawat itu berakhir di Lautan Hindi berdasarkan data dibekalkan Inmarsat, Yahaya tidak menolak kemungkinan ia berada di dasar laut dan dilitupi selut hingga sukar dikesan.
Sementara itu, bekas ketua juruterbang serantau MAS (Malaysia Airlines), Datuk Kapten Nik Ahmad Huzlan Nik Hussain, berkata pencarian semula perlu dimulakan dengan pendekatan baharu kerana ia mungkin memakan kos yang tinggi.
Beliau berkata, segala maklumat yang amat membantu perlu diambil kira supaya ia tidak sekadar menjadi usaha sia-sia dan akhirnya pesawat berkenaan gagal ditemui.
"Saya tertarik dengan teori seorang jurutera aeronautika dari Britain, Richard Godfrey, yang memaklumkan beliau dapat mengesan perjalanan, arah dan titik penerbangan sehingga pesawat itu terhempas.
"Malah, beliau ada memberikan koordinat yang tepat dan kalau usaha mencari dilaksanakan di situ, keluasan kawasan pencarian hanya membabitkan sekitar 30 kilometer persegi, bermaksud hanya besar sedikit berbanding Petaling Jaya," katanya.
Beliau berpandangan teori terbabit kukuh kerana kawasan pencarian sebelum ini dikatakan sebesar Semenanjung Malaysia, iaitu kira-kira 100,000 kilometer persegi.
Jika usaha pencarian dilancarkan semula, katanya, kos perbelanjaan tidak seharusnya menjadi isu kerana dunia mahu merungkai misteri di sebalik tragedi penerbangan itu.
"Malaysia boleh menggunakan perkhidmatan dan kepakaran sebuah syarikat robotik marin berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) yang menawarkan cadangan 'tiada penyelesaian, tiada bayaran' dalam mencari MH370 sebelum ini.
"Kos tidak sepatutnya menjadi isu kerana kita mahu merungkai apa sebenarnya yang berlaku ke atas pesawat ini. Lagi pun, syarikat terbabit, Ocean Infinity Ltd sudah memberi cabaran kepada Malaysia, mereka kata sanggup cari dan jika tak jumpa, Malaysia tak perlu bayar.
"Namun, kita perlu berjaga-jaga dengan tawaran seperti ini kerana ia seperti memberi lesen kepada orang untuk bina rumah kita, apabila sudah siap, mereka letak pelbagai kos," katanya.
Sehingga tiba detik itu, dunia akan terus berpegang kepada ungkapan terakhir Kapten Zaharie Ahmad sebelum bermulanya misteri yang belum terungkai hingga kini.
"Good night, Malaysian Three Seven Zero".
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/03/1220891/mh370-10-tahun-melerai-persoalan-tanpa-jawapan
*Perkongsian Berita Oleh :* https://hi.jomwasap.my/InfoTerkini