24/12/2025
It's Closed for Service Sector(As expected earlier). All approval under KPDN is closed, so those tauke who try to walk in for que no need to waste your time on next Tuesday.
SIARAN MEDIA
TARIKH PENUTUPAN PERMOHONAN KUOTA PENGGAJIAN PEKERJA ASING TAHUN 2025 BAGI SEKTOR PERKHIDMATAN BAWAH SELIAAN KEMENTERIAN PERDAGANGAN DALAM NEGERI DAN KOS SARA HIDUP
PUTRAJAYA, 24 Disember 2025 – Kementerian Dalam Negeri (KDN) ingin memaklumi semua majikan dan pihak berkepentingan bahawa pengurusan permohonan penggajian tenaga kerja asing bagi sektor perkhidmatan bawah seliaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) kini menghampiri had kuota yang telah ditetapkan oleh kerajaan bagi tahun 2025, iaitu sebanyak 30 000 kuota.
Sehubungan dengan itu, bagi memastikan pengurusan permohonan dilaksanakan secara teratur dan selaras dengan ketetapan kuota yang diluluskan, permohonan kuota penggajian pekerja asing bagi sektor perkhidmatan bawah seliaan KPDN melalui Pusat Sehenti (One Stop Centre – OSC) Pengurusan Pekerja Asing, KDN akan ditutup lebih awal iaitu mulai 26 Disember 2025.
Walau bagaimanapun, permohonan kuota penggajian pekerja asing bagi sektor dan subsektor lain yang dibenarkan masih dibuka sehingga 31 Disember 2025, tertakluk pada ketetapan sedia ada. Oleh itu, semua majikan yang berhasrat untuk menggajikan pekerja asing bagi sektor berkenaan hendaklah memastikan permohonan dikemukakan sebelum tarikh penutupan yang ditetapkan, tertakluk pada syarat dan peraturan yang sedang berkuat kuasa.
Untuk maklumat lanjut, pihak majikan boleh merujuk laman sesawang rasmi KDN dan KPDN, serta hebahan rasmi yang dikeluarkan dari semasa ke semasa melalui saluran rasmi kerajaan.
Kementerian Dalam Negeri
24 Disember 2025