07/08/2026
LAYANAN DUTI SETEM BAGI SURAT CARA PENGGAJIAN SERTA SURAT CARA DI BAWAH KATEGORI PENGECUALIAN DAN PENGECUALIAN AM
CYBERJAYA, 7 OGOS 2026 – Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) ingin memaklumkan bahawa penetapan layanan duti setem dan pengemukaan untuk pengendorsan surat cara bagi kontrak penggajian serta surat cara di bawah kategori Pengecualian dan Pengecualian Am dalam Jadual Pertama Akta Setem 1949 adalah seperti yang berikut:
(a) Semua surat cara yang disenaraikan di bawah kategori Pengecualian dalam Jadual Pertama Akta Setem 1949, termasuk surat cara bagi kontrak penggajian dengan saraan bulanan tidak melebihi RM3,000 tidak perlu disetemkan dan diendorskan;
(b) Semua surat cara yang disenaraikan di bawah kategori Pengecualian Am (surat cara dikecualikan di bawah seksyen 35 Akta Setem 1949) dalam Jadual Pertama Akta Setem 1949 perlu diendorskan bagi memastikan hanya pihak tertentu dan surat cara yang layak sahaja boleh menuntut pengecualian duti setem; dan
(c) Bagi surat cara kontrak penggajian dengan saraan bulanan melebihi RM3,000, hanya surat cara utama atau kontrak induk yang mengandungi terma dan syarat penggajian di antara majikan dan pekerja, perlu disetemkan dan diendorskan. Surat cara sampingan berkaitan penggajian yang sama tidak perlu disetemkan dan diendorskan. Penetapan ini memberikan kejelasan, keseragaman dan kepastian kepada pembayar cukai mengenai layanan duti setem bagi dokumen berkaitan, sekali gus memudahkan pelaksanaan serta pematuhan terhadap Akta Setem 1949.