11/03/2025
Najib telah menurunkan kadar cukai korporat dan cukai individu sebanyak tiga kali sepanjang tempoh beliau menjadi Menteri Kewangan dan Perdana Menteri, termasuk memberi pengecualian cukai kepada individu berpendapatan bulanan RM4,000 ke bawah pada tahun 2015.
Walaupun kadar cukai diturunkan dan pengecualian cukai diberikan, kutipan LHDN tetap meningkat sebanyak 55% daripada RM89 bilion pada tahun 2009 kepada RM137 bilion pada tahun 2018, dengan kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) sekitar 4.94% sepanjang tempoh tersebut.
Ini bermaksud kenaikan kutipan cukai dalam tempoh pentadbiran Najib berpunca daripada prestasi ekonomi yang kukuh, yang membawa kepada peningkatan keuntungan korporat serta kenaikan gaji pekerja.
Oleh kerana ekonomi berkembang dengan baik, syarikat membayar lebih cukai dan individu juga menyumbang lebih kepada hasil negara tanpa perlu menaikkan kadar cukai atau memperkenalkan cukai baharu.
Namun, dalam tempoh enam tahun selepas itu, dari 2018 hingga 2024, kutipan LHDN hanya meningkat daripada RM137 bilion kepada RM185 bilion, dengan kadar pertumbuhan CAGR sebanyak 5.11% walaupun tiada penurunan kadar cukai korporat dan malah berlaku kenaikan cukai individu serta beberapa cukai-cukai baharu dilaksanakan dalam tempoh tersebut.
Nota: Kutipan cukai tahun 2018 diambil sebagai tahun Najib kerana sebahagian besar cukai yang dikutip pada tahun tersebut adalah berdasarkan pendapatan pembayar cukai pada tahun 2017.
Perkara yang sama berlaku pada tahun 2010 apabila kutipan sedikit lebih rendah berbanding 2009, kerana ekonomi global ketika itu terkesan oleh kemelesetan The Great Recession. Namun, Malaysia berjaya dipulihkan di bawah pentadbiran Najib.