24/08/2026
MAULIDUR RASUL: ANTARA ILMU, KEPERIBADIAN DAN KEBERANIAN BERKATA
“SAYA TIDAK TAHU”
Hari ini kita memperingati Maulidur Rasul SAW. Banyak yang boleh kita bicarakan tentang kehebatan Baginda; kepimpinan, keberanian, akhlak, kasih sayang dan kebijaksanaan.
Tetapi ada satu teladan yang mungkin sangat relevan dengan dunia hari ini: adab terhadap ilmu.
Rasulullah SAW tidak mengajar kita bahawa seseorang mesti mengetahui segala-galanya.
Dalam satu peristiwa berkaitan teknik pendebungaan pokok kurma, Baginda akhirnya bersabda:
“Kamu lebih mengetahui tentang urusan dunia kamu.”
(Sahih Muslim, no. 2363)
Bagi saya, hadis ini sangat besar maknanya.
Ia menunjukkan bahawa KEPAKARAN itu perlu dihormati. Seseorang boleh sangat hebat dalam satu bidang, tetapi itu tidak secara automatik menjadikannya ahli dalam semua bidang.
Seorang doktor tidak semestinya ahli sejarah.
Seorang jurutera tidak semestinya ahli agama.
Seorang profesor dalam sesuatu disiplin juga tidak dengan sendirinya menjadi autoriti dalam disiplin yang lain.
Tidak salah mempunyai pandangan atau hipotesis. Dunia akademik memang berkembang melalui persoalan dan perdebatan!
Tetapi apabila sesuatu perkara dibawa kepada masyarakat sebagai fakta, tanggungjawabnya menjadi jauh lebih besar; perlu ada sumber, metodologi, bukti dan semakan daripada mereka yang benar-benar menguasai bidang tersebut.
Al-Quran sendiri mengingatkan:
“Dan janganlah engkau mengikuti apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya…”
(Surah al-Isra’, 17:36)
Rasulullah SAW juga memberi peringatan tentang keadaan apabila manusia menjadikan orang yang tidak berilmu sebagai rujukan, lalu mereka memberikan pandangan tanpa ilmu sehingga “mereka sesat dan menyesatkan orang lain.”
(Sahih al-Bukhari, no. 100)
Hadis terakhir ini secara khusus berbicara tentang ilmu agama dan fatwa. Tetapi pengajarannya tentang amanah ilmu sangat besar: semakin besar pengaruh seseorang, semakin berhati-hatilah dia apabila berbicara tentang sesuatu yang berada di luar pengetahuannya.
Dalam zaman media sosial, kadangkala keyakinan seseorang bercakap kelihatan lebih meyakinkan daripada bukti yang dibawanya.
Sedangkan dalam tradisi ilmu, ungkapan yang paling berani kadangkala hanyalah:
“Saya tidak tahu.”
Itu bukan kelemahan.
Itulah integriti!
Sempena Maulidur Rasul ini, mungkin antara sunnah yang patut kita hidupkan ialah merendah diri di hadapan ilmu, menghormati ahlinya, memeriksa sesuatu sebelum menyebarkannya dan tidak menjadikan gelaran sebagai lesen untuk bercakap tentang segala perkara.
Kita boleh berbeza pandangan.
Kita boleh membina hipotesis.
Kita boleh mencabar pemikiran sedia ada.
Tetapi ilmu mesti tetap berpijak pada dalil, bukti dan disiplin.
Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW.
Semoga kita bukan sekadar meraikan kelahiran Baginda, tetapi belajar meneladani adab Baginda terhadap ilmu dan kebenaran.
25 Ogos 2026
Iskandar Puteri, Johor