26/05/2026
Sejak beberapa hari lepas, terdapat beberapa perkongsian di media sosial berkenaan statistik NRW dengan mengaitkan masalah NRW negeri dan negara dengan paip lama yang uzur serta asbestos cement (AC) pipe. Sejak penubuhan Remagk pada tahun 2022 lagi, kami secara konsisten menolak naratif bahawa usia paip dan paip AC merupakan punca utama kepada masalah NRW negara melalui sesi kursus, perbincangan dan penerangan, selari dengan pandangan ramai pakar pengurusan air dari seluruh dunia.
1. Purata usia paip di negara kita sebenarnya masih jauh lebih muda berbanding negara maju, walaupun ada pihak cuba membawa naratif seolah-olah sistem paip kita sudah terlalu tua kerana ada paip era Perang Dunia Kedua.
2. Komposisi paip AC di negara maju dan di negara kita juga tidak banyak berbeza. Malah, terdapat syarikat-syarikat air di luar negara yang mempunyai peratusan paip AC lebih tinggi daripada kita, namun masih mampu mengekalkan NRW pada tahap jauh rendah walaupun masih menggunakan paip AC secara meluas.
3. Kegagalan paip bukan sahaja berlaku pada paip AC. Malah, banyak paip daripada material lain yang usianya jauh lebih muda turut mengalami kegagalan yang lebih teruk dan lebih awal berbanding era paip AC. Keadaan ini sebenarnya menggambarkan bahawa kadar kemerosotan dan kerosakan paip dalam sistem kita adalah sangat tinggi.
Terdapat banyak faktor yang menyumbang kepada keadaan ini dan sebahagian besarnya sebenarnya boleh dikawal melalui amalan yang baik dari peringkat rekabentuk, pemasangan, operasi dan penyelenggaraan, yang sehingga hari ini masih mempunyai banyak ruang untuk penambahbaikan dalam industri. Penggantian paip sememangnya tidak dapat dielakkan memandangkan kegagalan paip telah pun berlaku, lebih-lebih lagi dalam keadaan kegagalan pada tekanan rendah. Namun begitu, berdasarkan amalan semasa, tiada jaminan bahawa kitaran kegagalan ini dapat ditangguhkan atau dikawal dengan lebih baik pada masa hadapan.
Kami menyeru industri untuk berhenti mempermudahkan isu NRW dengan hanya menyalahkan paip lama atau paip AC. Industri perlu kembali memberi fokus kepada mengenalpasti punca sebenar kemerosotan sistem serta mengambil langkah pencegahan sebelum lebih banyak paip mengalami “premature pipe failure” seperti yang sedang berlaku hari ini. Kami juga menyeru syarikat-syarikat air serta organisasi berkaitan di peringkat kerajaan pusat dan negeri untuk bersama-sama membincangkan isu ini secara ilmiah bersama kami demi mencari penyelesaian terbaik untuk industri air negara serta penyelesaian jangka masa panjang bagi masalah NRW.
Hakikatnya, apa yang sedang berlaku sekarang adalah “premature pipe failure” dalam skala yang membimbangkan, walaupun fakta ini sukar diterima oleh industri. Jangan melihat pandangan kami dari sudut negatif, tetapi lihatlah ia sebagai satu peringatan dan usaha untuk memperbaiki keadaan demi kebaikan generasi akan datang, kerana apa yang kita lakukan terhadap sistem hari ini akan memberi kesan kepada mereka pada masa hadapan.