13/08/2026
KENYATAAN MEDIA
Barisan Nasional mengambil maklum pembentangan dan perbahasan khas Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung pengurusan Lembaga Tabung Haji (TH) di Dewan Rakyat pada 11 Ogos 2026.
Pendirian BN adalah jelas dan konsisten: tidak ada apa-apa yang hendak disembunyikan daripada rakyat, khususnya kepada 10 juta pendeposit Tabung Haji. Hakikat bahawa laporan RCI telah dinyahklasifikasikan, dibentangkan secara terbuka, dan dibahaskan oleh Ahli-Ahli Dewan Rakyat membuktikan bahawa proses ketelusan dilaksanakan melalui saluran institusi negara yang sah.
BN ingin menegaskan beberapa perkara penting iaitu:
1. Hormati proses institusi negara
RCI ialah mekanisme yang diwujudkan di bawah undang-undang negara untuk menyiasat isu berkepentingan awam. Laporan tersebut perlu diteliti secara objektif, berasaskan fakta dan bukti, bukannya dijadikan bahan penghukuman politik.
2. Skop RCI tidak terhad kepada 2014-2020
Perbahasan juga turut mengesahkan bahawa RCI ini memfokuskan pada tempoh 2014 hingga 2020 sahaja. Oleh itu, adalah wajar kajian menyeluruh mengenai keseluruhan sejarah tadbir urus Tabung Haji dengan turut membuat penelitian terhadap tempoh-tempoh lain, termasuk perkembangan dan keputusan selepas tahun 2020 seperti peranan yang dimainkan oleh Urusharta Jemaah Sdn Bhd (UJSB) sejak penubuhannya sehingga kini.
3. Fokus kepada pembaharuan institusi
Dapatan RCI menyentuh isu tadbir urus, struktur kuasa, pemisahan fungsi dan mekanisme semak imbang. Perkara-perkara ini perlu dilihat sebagai asas untuk memperkukuh institusi Tabung Haji, bukan mencari keuntungan politik jangka pendek.
BN menyambut baik usaha penambahbaikan yang telah dilaksanakan, termasuk pelaksanaan syor-syor RCI, dan berpandangan bahawa transformasi institusi perlu diteruskan secara konsisten.
4. Cadangan Pengerusi BN sejak awal: Bentang dan bahaskan BN ingin mengingatkan bahawa YAB Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sejak awal telah menyatakan sokongan supaya laporan RCI didedahkan di Parlimen dan dibahaskan secara khas. Malah beliau turut mencadangkan supaya penelitian diperluaskan bagi memastikan ketelusan yang benar-benar menyeluruh. Ini menunjukkan bahawa BN tidak pernah mengambil pendirian untuk menutup ruang penelitian awam terhadap isu Tabung Haji.
5. Kepentingan pendeposit mesti mengatasi kepentingan politik Tabung Haji bukan sekadar entiti kewangan. la adalah institusi umat Islam yang mempunyai amanah besar dalam pengurusan simpanan, pelaburan dan urusan ibadah haji.
Oleh itu, semua pihak perlu mengelakkan:
- Tuduhan melulu
- Penghakiman politik sebelum proses perundangan selesai
- Naratif yang boleh menjejaskan keyakinan pendeposit tanpa asas yang bertanggungjawab.
Penutup
Barisan Nasional berpandangan bahawa sidang khas Parlimen telah membuka ruang yang luas untuk penelitian awam terhadap laporan RCI Tabung Haji.
Ketelusan telah dilaksanakan. Perbahasan telah berlangsung. Transformasi sedang berjalan. Maka, fokus selepas ini bukan lagi untuk menimbulkan persepsi bahawa ada pihak yang cuba menyembunyikan sesuatu, tetapi untuk memastikan:
• Tadbir urus Tabung Haji terus diperkukuh;
• Syor-syor penambahbaikan dilaksanakan sepenuhnya; dan
• Keyakinan pendeposit serta umat Islam terhadap institusi Tabung Haji terus terpelihara.
Dato Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir
Setiausaha Agung Barisan Nasional
13 Ogos 2026