03/11/2020
HASIL PENYELIDIKAN UUM TARIK MINAT KERAJAAN NEGERI KEDAH
UUM ONLINE: Projek penyelidikan ‘Sistem Pengesanan Awal dan Intervensi bagi Menangani Masalah Keciciran Murid’ yang dibangunkan sekumpulan penyelidik Universiti Utara Malaysia (UUM) diketuai Prof. Dr. Rosna Awang Hashim telah menarik perhatian Kerajaan Negeri Kedah bagi mempertingkatkan kualiti pendidikan rakyat di negeri Kedah.
Prof. Dr. Rosna berkata, penyelidikan yang memberi nilai impak yang tinggi kepada kesejahteraan masyarakat dan negara merupakan agenda penting yang sentiasa didukung oleh ahli akademik.
Menurutnya, masalah keciciran murid adalah antara isu besar dalam dunia pendidikan negara masa kini, justeru sebagai satu usaha untuk mengurangkan kadar keciciran dalam kalangan murid sekolah di negeri Kedah, pasukan penyelidik beliau telah membangunkan satu sistem bagi mengatasi masalah tersebut.
“Penyelidikan yang dijalankan dengan gabungan kepakaran dari bidang ilmu komunikasi dan multimedia serta kepakaran teknologi maklumat ini turut menarik perhatian Kerajaan Negeri dan Jabatan Pendidikan Negeri Kedah.
“Kami telah membentangkan projek yang akan dilaksanakan di hadapan Menteri Besar, Sanusi Md Noor serta Exco Kerajaan Negeri Kedah pada Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri Kedah, baru-baru ini,” katanya.
Tambah beliau, Menteri Besar dan ahli-ahli MMK telah sebulat suara bersetuju memberi sokongan dan bantuan kepada pasukan penyelidik untuk melaksanakan projek penyelidikan yang akan mengambil tempoh antara tiga hingga lima tahun.
Menurutnya, Kerajaan Negeri juga berharap projek penyelidikan itu dapat dilaksanakan dengan jayanya bagi membantu anak-anak negeri Kedah dalam bidang pendidikan terutama dari golongan B40.
Katanya, kejayaan menangani keciciran murid bakal memberi impak tinggi kepada kelestarian masyarakat dan perbelanjaan kewangan kerajaan untuk jangka panjang.
“Projek penyelidikan ini juga melibatkan peranan pelbagai pemegang taruh (stakeholders) dalam pendidikan seperti Kerajaan Negeri Kedah, Kementerian Pendidikan Malaysia, Jabatan Pendidikan Negeri Kedah, ibu bapa, komuniti setempat dan murid-murid yang terlibat.
“Secara langsung, usaha murni ini bertujuan untuk merealisasikan hasrat UUM bagi melebar luaskan konsep 1 Pusat Pengajian 1 Daerah (1PP1D),” katanya.
Sesi pembentangan tersebut turut disertai oleh Prof. Madya Dr. Norhafezah Yusof (SMMTC), Noraziah Che Pa (SOC), Dr. Mohd Fairuz Jafar (SEML) dan Dr. Marini Kasim (SEML).
Lawat laman web rasmi di https://www.uum.edu.my/
Ikut media sosial rasmi di
Facebook https://www.facebook.com/universitiutaramalaysia
Twitter https://twitter.com/uumnews
Instagram https://www.instagram.com/uumofficial
Youtube https://www.youtube.com/UUMtube
Telegram https://t.me/uuminfo