10/08/2021
AL-MUBARAKFURI membuat catatan bahawa Nabi Muhammad SAW keluar dari rumah baginda menuju ke rumah Abu Bakar al-Siddiq RA bagi memulakan hijrah ke Madinah pada waktu malam, 27 Safar tahun ke-14 kenabian. Ibn Hisyam menjelaskan apabila Nabi SAW diwahyukan supaya keluar dari rumah bagi memulakan hijrah, maka baginda menyuruh Ali bin Abu Talib menggantikan tempat tidur baginda dengan menyelimutkan diri menggunakan baju selendang Nabi Muhammad SAW yang selalu digunakan ketika tidur bagi mengelirukan musyrikin Quraisy yang mengepung kediaman dan merancang membunuh baginda.
Hijrah Nabi Muhammad SAW ke Madinah bukan suatu kebetulan dan tanpa berfikir, tetapi dengan perancangan teratur dan langkah tersusun bagi menjamin matlamatnya tercapai. Nabi Muhammad SAW memberikan tunjuk ajar kepada umat baginda agar membuat perancangan secukupnya dengan langkah tepat dalam pelaksanaan tugasan.
Allah SWT menjelaskan keutamaan hijrah dalam al-Quran yang bermaksud: "Dan sesiapa yang berhijrah pada jalan Allah (untuk membela dan menegakkan Islam), nescaya ia akan dapati di muka bumi ini tempat berhijrah yang banyak dan rezeki yang makmur; dan sesiapa yang keluar dari rumahnya dengan tujuan berhijrah kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian ia mati (dalam perjalanan), maka sesungguhnya telah tetap pahala hijrahnya di sisi Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." surah An-Nisa' ayat 100.
Kedatangan Tahun Baru Hijrah pada setiap tahun harus menjadi medan untuk memperbaharui niat, azam dan matlamat dalam kehidupan. Detik ini perlu menjadi peringatan kepada kita untuk sentiasa memperbaiki diri menjadi Muslim yang taat kepada perintah Allah SWT dan menjadi manusia yang bertanggungjawab kepada diri sendiri, keluarga, masyarakat dan negara.
Firman Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud: "Wahai orang beriman! Bertakwalah kepada Allah (dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya); dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa yang ia telah sediakan (dari amal-amalnya) untuk hari esok (hari akhirat). Dan (sekali lagi diingatkan): Bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Amat Meliputi Pengetahuan-Nya akan segala yang kamu kerjakan." (Surah Al-Hasyr, ayat 18)
Permulaan Tahun Baru Hijrah adalah detik yang bermakna bagi memperingati peristiwa besar hijrah Rasulullah SAW dari Tanah Haram Makkah Mukarramah ke Kota Madinah Munawwarah. Penghijrahan dengan segala pengorbanan jiwa, harta dan tanah air tercinta menjadi titik tolak perubahan dan pemangkin penyebaran syiar Islam ke serata alam. Justeru, menjadi tanggungjawab kita untuk meneruskan kesinambungan perjuangan dan pengorbanan baginda dan sahabat dengan memberikan sumbangan dan khidmat bakti kepada ummah dalam apa jua kemampuan yang ada. Sesungguhnya, syiar Islam tertegak di atas kesediaan umatnya untuk berkorban menyumbang khidmat bakti dalam melaksanakan tugasan dakwah. Perpindahan Nabi Muhammad SAW ke Madinah bukanlah semata-mata untuk lari daripada tekanan Quraisy dan musyrikin Makkah, tetapi juga mencari tempat baharu supaya Islam dapat berkembang terus menerus secepat mungkin.
Kegemilangan Islam tercipta selepas berlakunya hijrah Rasulullah SAW yang mengeluarkan masyarakat daripada tekanan kepada kebebasan, kemiskinan kepada kekayaan dan sengsara kepada kedamaian. Justeru, detik Tahun Baru Hijrah boleh menjadi pemangkin untuk kita kembali mencari peluang, kekuatan dan keyakinan bagi meneroka perubahan kepada yang lebih baik setelah menempuhi pelbagai ujian yang melanda kehidupan.
Kejayaan hijrah ke Madinah, dari sudut sebab musababnya adalah hasil usaha kerja tersusun mantap yang dilakukan sekian lama. Ia bukan suatu kebetulan tanpa perancangan dan strategi diatur. Hijrah menjadi sangat penting dan sungguh besar ertinya kerana ia menentukan Islam dan umatnya terus hidup berkembang dengan jayanya. Atas kepentingan peristiwa hijrah, maka ia diabadikan ingatannya dengan dijadikan tahun pertama bagi kalendar Islam.
Dipetik dari:
Penulis Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi)