20/01/2026
🤝 Kunjungan Hormat & Pembentangan Kemajuan Pelan Tindakan Bandar Hijau (GCAP) di bawah RMKe-12 🌱
Wakil daripada Asian Development Bank (ADB), ICLEI South Asia dan IMT-GT Joint Business Council (JBC) yang diketuai oleh Datuk Ir. Ts. Dr. Mahadi Mohamad telah mengadakan kunjungan hormat ke atas Datuk Dr. Zunika Mohamed, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), Kementerian Ekonomi.
Sesi pertemuan ini bertujuan untuk membentangkan perkembangan terkini Pelan Tindakan Bandar Hijau (Green City Action Plan, GCAP) di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12). Pasukan telah memaklumkan Datuk Dr. Zunika mengenai kemajuan signifikan yang telah dicapai bagi Subprojek 2, khususnya kejayaan pelaksanaan aktiviti pengumpulan data sepanjang tahun lalu di lima bandar terlibat iaitu Ipoh, Manjung, Teluk Intan, Kulim Hi-Tech Park dan Kangar, yang dilaksanakan secara bersama oleh ADB, ICLEI South Asia dan JBC.
Dalam pertemuan ini, pasukan turut mengambil kesempatan untuk membentangkan draf dokumen GCAP bagi kelima-lima bandar, termasuk profil bandar, keutamaan tindakan, cadangan projek serta hala tuju pelaksanaan yang telah dikenal pasti.
Pihak kami merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas sokongan berterusan Datuk Dr. Zunika dan Kementerian Ekonomi terhadap pelaksanaan GCAP dan menyatakan komitmen untuk memastikan pelan-pelan ini diintegrasikan serta diselaraskan dengan dasar, strategi dan pelan pembangunan sedia ada negara, selaras dengan aspirasi untuk memacu pembangunan bandar hijau, rendah karbon dan mampan di Malaysia.