05/04/2026
Anwar panik, "Saya ulang, terus diulang."
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, membidas pihak yang terus mengulang kenyataan lamanya mengenai isu penurunan harga minyak!
Menurut laporan Sinar Harian, beliau menegaskan bahawa tindakan mengitar semula kenyataan 'hari ini menang, esok minyak turun' tanpa mengambil kira konteks sebenar adalah cubaan untuk mengelirukan rakyat demi kepentingan politik sempit.
"Ada pihak menggunakan media sosial untuk memutarbelitkan fakta. Minyak melambung naik, kemudian mereka mengulang kenyataan lama saya.
“Eh, kamu ini tidak membaca fakta atau buta huruf? Kenyataan itu dibuat ketika harga minyak di Arab Saudi sekitar 50 sen, tetapi kita (sekarang) RM1.99.
“Jika fakta tidak dipedulikan, yang ada cuma politik picisan yang memperbodohkan rakyat,” katanya ketika sesi dialog dalam program ‘Temu Anwar Bersama Warga MCKK’ di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) pada Sabtu.
Beliau juga menegaskan bahawa Malaysia masih mengekalkan harga minyak yang antara terendah di dunia walaupun banyak negara pengeluar menaikkan harga bahan api mereka. Kerajaan terus berkomitmen mengekalkan subsidi diesel untuk golongan petani dan nelayan demi mengurangkan kos sara hidup.
Perdana Menteri turut mengakui cabaran besar dalam melaksanakan reformasi dalam suasana politik semasa yang memerlukan banyak rundingan.
“Saya dalam Parlimen cuma ada 82 orang daripada 222. Saya perlu berunding dengan rakan-rakan. Saya bernasib baik rakan-rakan dalam UMNO memberikan kerjasama penuh, begitu juga Sabah dan Sarawak.”
“Setiap langkah harus dirunding. Saya bukan pemimpin mutlak seperti diktator,” katanya.
Kepada Anwar, ini satu pengajaran berguna buat semua politikus, jangan mudah melontar janji dan kata-kata dusta. Akui kesilapan, tarik balik. Minta maaf.
Berpegang teguh kepada prinsip dan kebenaran - terlajak perahu, boleh berpatah-balik, terlanjur kata buruk padahnya.
Wallahua'lam.