03/09/2026
*TRAINER INSIGHT™*
*20 ORANG PESERTA ANGGUK BILA KITA TANYA “FAHAM?”*
*TAPI USAH TERLALU CEPAT PERCAYA!*
Ini antara perangkap kecil yang saya rasa ramai trainer pernah buat. Saya pun sama.
Kita baru habis menerangkan sesuatu.
Kita pandang peserta dan tanya:
*“Okay semua, faham?”*
Satu bilik angguk.
Ada yang jawab,
“Faham…”
Kita pun lega.
*Next slide.*
Tapi sebenarnya kita belum tahu pun mereka faham atau tidak.
Sebab *angguk bukan bukti pembelajaran berlaku.*
Peserta boleh mengangguk walaupun mereka:
* baru faham separuh,
* masih keliru,
* malu hendak bertanya,
* atau rasa mereka faham… sehinggalah diminta melakukannya sendiri.
Saya belajar, kalau kita benar-benar mahu tahu peserta faham atau tidak, jangan hanya minta mereka *mengaku faham.*
Minta mereka *tunjukkan kefahaman.*
Contohnya, daripada bertanya:
❌ “Semua faham?”
Cuba tanya:
*“Kalau situasi ini berlaku di tempat kerja tuan puan, apa tindakan pertama yang patut dibuat?”**
atau,
**“Siapa boleh terangkan semula perkara ini menggunakan ayat sendiri?”*
atau paling mudah,
*“Daripada tiga langkah tadi, yang mana satu tuan puan rasa paling susah untuk dibuat?”*
Jawapan peserta akan memberi kita lebih banyak maklumat daripada 20 kepala yang mengangguk serentak. 😄
Dan kalau jawapan mereka masih tersasar, itu bukan bermaksud kita gagal sebagai trainer.
Itu sebenarnya *feedback kepada kita.*
Mungkin penerangan kita perlu dipermudahkan.
Mungkin contoh kita kurang dekat dengan pengalaman mereka.
Atau mungkin kita perlu berhenti sekejap sebelum bergerak ke topik seterusnya.
Sebab objektif kita bukan untuk *habiskan slide.*
Objektif kita ialah memastikan peserta boleh membawa sesuatu keluar daripada bilik latihan dan menggunakannya.
Jadi dalam kelas akan datang, cuba satu perkara kecil:
*Kurangkan bertanya “Faham?”*
Gantikan dengan satu soalan yang membuat peserta *menunjukkan apa yang mereka faham.*
Trainer yang bagus dan prihatin bukan sekadar pandai menerangkan.
*Dia juga tahu bagaimana hendak memastikan pembelajaran benar-benar berlaku.*
Saya pun masih belajar. Kita sama-sama naikkan nilai profesion trainer ini.