07/10/2025
Kalau tentera pun takut dengan ultra kiasu, kita nak bergantung harap kepada siapa lagi untuk jaga negara ini?
Pada 31 Julai 2025, saya dihubungi oleh pegawai TUDM, jemputan sebagai panel Forum Perdana sempena Jubli Delima Pangkalan Udara, Subang. Saya menerima jemputan tersebut, bertarikh 10 Oktober 2025, tiga hari lagi.
Segala persiapan telah dibuat. Pihak TUDM menghubungi saya saban kali, untuk mendapatkan kepastian hadir, termasuk surat-menyurat, tauliah JAIS, hebahan poster forum dll. Biasalah, apabila kita sudah menerima undangan TUDM, saya perlu batalkan jemputan lain, pada tarikh sama, selepas itu.
Namun, tiba-tiba tadi, saya dihubungi oleh pegawai TUDM yang sama, membatalkan jemputan saya sebagai panelis forum tersebut. Saya bertanyakan kenapa? Jawapannya, arahan daripada pihak atasan.
Beliau meminta maaf. Saya kata, tidak ada apa yang ingin dimaafkan, tidak ada masalah. Saya memahami. Saya menerima keputusan penganjur dengan hati yang terbuka. Ini bukan pertama berlaku, banyak kali dah. Inilah liku-liku perjuangan. Sedikit cuma cubaannya, berbanding dengan dugaan orang terdahulu.
Ini membawa saya teringat kepada pembatalan siaran forum secara langsung (live) Forum Perdana Ehwal Islam, TV1, lebih kurang tiga tahun lalu, sebaik sahaja PH berjaya memerintah, menang PRU15. Dua hari sebelum siaran langsung, saya menerima panggilan daripada penerbit, untuk membatalkan penyertaan saya dalam forum tersebut. Alasan yang sama, arahan daripada pihak atas. Saya tidak salahkan mereka, kerana mereka menerima arahan.
Baru saya faham, rupanya kalau nak masuk TV atau berceramah dengan jabatan kerajaan, kena kipas, bodek dan menyampaikan salam Malaysia Madani
Beginilah nasib hidup berjuang. Saya tidak pernah kesal atau terkilan, kerana itu hak mereka. Namun, kali ini saya terkesan sedikit, kerana yang menjemput adalah pihak tentera (TUDM). Kalau tentera pun takut kepada ultra kiasu, rakyat nak bergantung harap kepada siapa lagi?