03/10/2022
Kegagalan Kerajaan Menyebabkan Kekurangan Bekalan Telur di Pasaran
Mengikut laporan media dan tinjauan di pasaran, Malaysia sedang mengalami kekurangan bekalan telur yang amat serius. Mengikut laporan media, Pasaraya Mydin mengalami kekurangan bekalan sehingga 60%. Tinjaun saya dengan pembekal, memaklumkan bahawa mereka mengalami kekurangan sebanyak 30-40%. Tinjauan saya di pasar p**a mendapati bahawa telur telah habis dijual sebelum tengahari.
Telur merupakan sumber protein yang paling murah. Rakyat Malaysia secara purata memakan sebiji telur sehari bersamaan dengan 320 biji telur setahun. Kekurangan bekalan telur menunjukkan kegagalan kerajaan sekarang dalam memastikan sumber makanan terjamin.
Faktor utama kekurangan bekalan adalah disebabkan oleh kegagalan Kerajaan memastikan bekalan mencukupi. Secara purata, Malaysia harus membekalkan 30 juta biji telur sehari ke pasaran. Menteri MAFI bertanggungjawab memastikan bekalan yang mencukupi, tetapi, malangnya beliau gagal melaksanakan tanggungjawab tersebut. Beliau harus menjawab kepada rakyat mengapa gagal menjalankan tugas.
Faktor kedua adalah pemberian subsidi kerajaan yang tidak mencukupi. Kerajaan telah menetapkan harga siling telur pintu ladang (ex-farm) pada 37 sen. Kos pengeluaran sebiji telur adalah 43 sen. Subsidi kerajaan hanya 3 sen. Penternak rugi 3 sen sebiji. Maka, penternak terpaksa mengurangkan bekalan untuk mengurangkan kerugian.
Faktor ketiga ialah kegagalan fungsi Jawatankuasa Jihad Memerangi Inflasi. Jawatankuasa ada tiga tanggungjawab penting iaitu menetapkan harga siling, memperuntukan kewangan subsidi dan penyaluran subsidi dengan efisien kepada penternak. Selepas menetapkan harga siling, JK ini gagal memperuntukan jumlah subsidi yang mencukupi. Pemberian subsidi juga lewat sampai kerana proses permohonan subsidi penuh dengan karenah birokrasi. Akibatnya, penternak kurang kepercayaan dan keyakinan kepada jawatankuasa ini.
Faktor keempat ialah kegagalan kerajaan membantu penternak menyebabkan lebih kurang 80 ladang ayam gulung tikar. Dalam keadaan kekurangan bekalan, kerajaan seharusnya cuba menyelamatkan ladang-ladang ayam supaya bekalan tidak terjejas. Kerajaan gagal menyelamatkan ladang-ladang tersebut. Tiada penternak, tiada makanan.
Saya menyeru Menteri-menteri dalam Jawatankuasa Jihad Perangi Inflasi jangan asyik memikirkan pilihanraya. Mereka harus segera memanggil mesyuarat dan mencari penyelesaian kepada masalah kekurangan bekalan telur ini. 32 juta rakyat Malaysia yang makan telur setiap hari, sedang memperhatikan prestasi mereka. Undi di tangan rakyat, menteri yang gagal akan kalah dalam pilihanraya.
Sim Tze Tzin
MP Bayan Baru,
Jurucakap Pertanian dan Komoditi Parlimen Parti KEADILAN