30/09/2024
SEGMENT
WARISAN DAN BUDAYA: BATIK TERENGGANU
Batik Terengganu merupakan salah satu warisan budaya yang terkenal di Malaysia, terutamanya di kalangan masyarakat Terengganu. Batik, dihasilkan melalui teknik pewarnaan kain dengan menggunakan lilin sebagai perintang. Batik sememangnya telah lama berkembang sebagai simbol warisan seni yang kaya di negeri Terengganu. Walaupun batik juga dihasilkan di negeri-negeri lain di Malaysia, seperti Kelantan, namun begitu batik Terengganu mempunyai ciri-ciri dan keunikannya yang tersendiri yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.
Selain itu, batik Terengganu bukanlah sekadar kain, tetapi ianya adalah sebuah lamband dan identiti budaya dan warisan seni tempatan. Pelbagai inisiatif telah dilakukan dalam usaha untuk mengekalkan warisan ini termasuklah program pemuliharaan dan latihan yang dianjurkan oleh kerajaan negeri dan organisasi tempatan.
Program-program seperti Kraf Tangan Malaysia dan Institut Kraf Negara memainkan peranan yang sangat penting dalam memastikan generasi muda terus mempelajari dan mengembangkan kemahiran seni batik.
Dengan keunikan motif, teknik pembuatan, dan pengiktirafan antarabangsa, batik Terengganu terus menjadi satu aset warisan budaya yang sangat berharga. Kehadiran batik Terengganu di pentas dunia bukan sahaja mempromosikan seni tekstil Malaysia, tetapi juga menyumbang kepada usaha mengekalkan identiti dan tradisi warisan bangsa.
Antara keunikan batik Terengganu ialah:
1. Motif dan Corak: Batik Terengganu terkenal dengan motif flora, fauna, dan geometrik yang sangat halus. Seni batik ini sering kali menggunakan motif yang melambangkan alam semula jadi, termasuk bunga, daun, burung, dan ombak laut. Corak batik Terengganu biasanya lebih lembut dan elegan, mencerminkan keindahan dan kehalusan budaya tempatan.
2. Penggunaan Warna: Satu lagi keunikan batik Terengganu ialah penggunaan warna-warna cerah yang harmonis. Proses pewarnaan dilakukan dengan teliti bagi memastikan kualiti kain dan kejelasan corak. Warna-warna seperti biru laut, hijau, dan ungu sering digunakan untuk melambangkan elemen semula jadi di negeri ini.
3. Teknik Lukisan Tangan: Berbanding dengan batik cetak, batik Terengganu lebih dikenali dengan batik tulis (lukisan tangan). Teknik ini memerlukan kemahiran tinggi dan ketelitian kerana setiap corak dilukis dengan lilin menggunakan canting sebelum diwarnakan. Ini menjadikan setiap helai batik yang dihasilkan unik, kerana coraknya tidak sama antara satu sama lain.
4. Pengiktirafan Antarabangsa: Di peringkat dunia, batik Terengganu telah menerima pengiktirafan sebagai karya seni tekstil yang berkualiti tinggi. Ia sering dipamerkan dalam pameran fesyen dan seni di peringkat antarabangsa, menjadikannya terkenal di mata dunia sebagai salah satu warisan budaya yang kaya di Malaysia.
5. Penggunaan Dalam Fesyen Moden: Batik Terengganu juga telah mendapat tempat dalam dunia fesyen moden, di mana ia digunakan oleh pereka fesyen tempatan dan antarabangsa. Ramai pereka fesyen Malaysia memanfaatkan keunikan batik Terengganu dalam reka bentuk kontemporari, menggabungkannya dengan elemen moden untuk menarik minat generasi muda.