04/10/2017
cnp
KENYATAAN AKHBAR- SURUHANJAYA PENGANGKUTAN AWAM DARAT
PEMBEBASAN KAWALSELIA (DEREGULATION) TAMBANG BAS SEKOLAH
KUALA LUMPUR: 3 Oktober 2014 -
Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) akan membebaskan kawalselia (deregulation) tambang bas sekolah untuk membolehkan industri ini menjadi lebih mapan dan dapat mempertingkatkan mutu perkhidmatan, terutamanya dari aspek keselamatan dan keselesaan anak-anak yang menggunakan perkhidmatan ini. Ianya akan berkuatkuasa pada 1 Januari 2015.
Pendekatan ini diambil setelah mendapat maklumbalas dari pihak-pihak berkepentingan dan penilaian terhadap kenaikan kos operasi, seperti bahanapi, penyelenggaraan, pembaikan dan juga bahan ganti bas. Kenaikan kos operasi seperti bahanapi (naik 18-20% sejak 2009), pembaikan dan penyelenggaraan (naik 20-30% sejak 2009), dan juga bahan ganti bas seperti tayar (naik 30-50% sejak 2009).
Sejak tahun 2009, pengendali bas sekolah hanya dibenarkan untuk mengenakan tambang bas sekolah yang telah ditetapkan oleh Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP). Penetapan harga siling tambang bas sekolah menghadkan pendapatan pengendali bas sekolah. Apabila kos operasi kian meningkat, ramai pengendali bas sekolah hanya mampu memberikan perkhidmatan minima. Yang lebih teruk lagi, ada pengendali bas yang ingin menghentikan perkhidmatan mereka. Selain dari itu, kualiti perkhidmatan, keselamatan dan keselesaan yang sejajar dengan kehendak ibu bapa untuk anak-anak mereka tidak dapat ditawarkan dengan sebaiknya oleh pengendali bas sekolah.
Dengan pembebasan kawalselia tambang ini, kuasa pasaran akan merangsang pengendali bas sekolah untuk bersaing sengit untuk menawarkan perkhidmatan yang ditambah nilai pada harga yang berpatutan kepada ibu bapa. Adalah dijangka pendekatan ini akan menarik lebih ramai pengendali bas sekolah. Mereka yang menjalankan perkhidmatan tanpa lesen juga dijangka akan tampil untuk mendaftar dengan SPAD. Sebaliknya, ibu-bapa juga mempunyai kuasa untuk membuat penawaran dan menentukan kadar tambang mengikut jenis dan kualiti perkhidmatan yang ditawarkan oleh pengendali bas sekolah.
SPAD akan terus memantau industri bas sekolah dengan memperkenalkan inisiatif lain seperti Skim Penggantian Bas Sekolah. Dibawah skim ini, pengendali digalakkan untuk menukar bas mereka yang telah berusia 25 tahun ke atas ke bas baru. Skim ini menawarkan rebet sebanyak RM10,000 dengan bantuan pinjaman dari Bank Simpanan Nasional dengan kadar faedah 2%.
Pada masa yang sama, Skim Insurans Murid Sekolah juga telah diwujudkan bagi melindungi murid sekolah semasa menaiki bas sekolah. Dalam usaha untuk mentransformasikan industri bas sekolah, SPAD akan menetapkan had umur bas sekolah yang berusia lebih daripada dua belas (12) tahun untuk tidak beroperasi luar kawasan sekolah. Buku Panduan SPAD ICOP-Keselamatan untuk Pengendali Bas Sekolah juga akan dikeluarkan dalam masa yang terdekat ini sebagai rujukan setiap pengendali bas sekolah.
Dalam mempertingkatkan tahap keselamatan bas sekolah, SPAD telah menjalankan pelbagai pendekatan seperti mewajibkan semua pegawai keselamatan dan penyelia syarikat untuk menghadiri latihan SPAD ICOP-Keselamatan yang termaktub didalam Pekeliling 8 tahun 2014 mengenai Kod Amalan Industri (ICOP) SPAD- Keselamatan untuk Pengendali Bas Sekolah. Setakat ini, 2273 jumlah pengendali bas sekolah telah menghadiri latihan SPAD ICOP-Keselamatan. Dalam pada itu, SPAD juga telah menghantar Senarai Semak Keselamatan Penggunaan Kenderaan Awam kepada Kementerian Pelajaran sebagai rujukan pihak sekolah bagi memastikan penggunaan bas sekolah yang selamat semasa lawatan luar kawasan sekolah.
SPAD akan sentiasa menggiatkan lagi aktiviti penguatkuasaan bagi memantau pengendali bas sekolah yang berlesen dan pada masa yang sama telah memudahkan proses pendaftaran bagi pengusaha bas yang tidak berdaftar. Peranan SPAD adalah untuk memastikan perkembangan mantap sektor bas sekolah dalam jangka panjang, selaras dengan Pelan Transformasi kerajaan yang mementingkan tahap keselamatan anak-anak yang menggunakan perkhidmatan Bas Sekolah.