12/06/2026
NIGHT FUN WALK MERIAHKAN SAMBUTAN HARI BELIA NEGARA 2026 PERINGKAT LABUAN
Labuan, 12 Jun - Cuaca hujan turun tidak menghalang penganjuran program “Night Fun Walk” sempena sambutan Hari Belia Negara 2026 peringkat Labuan.
Hampir seribu 500 belia serta masyarakat setempat menyertai seterusnya memeriahkan penganjuran program tersebut.
Program itu dianjurkan Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Labuan dengan kerjasama Majlis Belia Labuan (MBL) dan Kelab Belia Ganggarak Merinding (BEGANDING).
Pelepasan para peserta bermula 7.30 malam dan telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Mordi Anak Bimol.
Kesemua peserta dan tetamu jemputan berjalan melalui Jalan Merdeka sejauh tiga kilometer.
Turut serta, Timbalan Ketua Pengarah (Belia) Jabatan Belia dan Sukan Negara, Dr. Zainah Shariff, Pengarah JBS Labuan Mahanum Fauzi dan Presiden MBL Nazera Roslan.
Dalam pada itu, penganjuran program itu bertujuan menggalakkan amalan gaya hidup sihat.
Di samping mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan belia dan komuniti setempat.
Aktiviti berkenaan merupakan antara pengisian utama Sambutan Hari Belia Negara 2026 yang membawa tema "Menggerak Belia MADANI" dalam usaha memperkasa peranan belia sebagai pemangkin pembangunan negara.