31/12/2025
PERTUBUHAN USAHAWAN MUSLIM PULAU PINANG
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarokatuh dan Salam Sejahtera.
Saya doakan semoga semua rakan-rakan Usahawan di Pulau Pinang berada dalam keadaan sihat walafiat, berbahagia dan berjaya mengharungi Tahun 2025 dengan jayanya.
Alhamdulillah dan Insya Allah, kita akan melangkah masuk ke Tahun 2026 dalam masa beberapa hari lagi. Kita bakal meninggalkan tahun 2025 yang penuh cabaran, dugaan dan kenangan pahit dan manis.
Pastinya kehidupan dan perjalanan sebagai Usahawan bukan lah perkara yang mudah. Masing-masing telah menempuh pelbagai karenah dalam membangunkan perniagaan masing-masing disepanjang tahun ini.
Saya dan kita sedar bahawa kehidupan sebagai usahawan harus mengharungi pelbagai dugaan. Tidak mudah. Tahap dugaan pasti berbeza dan kekuatan serta ketabahan adalah antara penentu kejayaan kita.
Dalam mengharungi perjuangan dalam perniagaan, rakan dan teman yang positif dalam tindakan dan pemikiran juga akan membantu kita dalam memberi semangat, lebih-lebih lagi disaat diduga. Sebab itu kekal lah berkawan dengan sahabat yang memahami dan senantiasa bersama kita sewaktu senang dan susah.
Pertubuhan Usahawan Muslim Pulau Pinang (PUMPP) terus mengorak langkah sejak ditubuhkan pada tahun 2019. PUMPP terus terlibat secara langsung dalam program-program kelolaan agensi seperti BPPBPP ICU JPM, Pejabat YB Exco Keusahawanan, PERDA, MARA, SMECorp, Zakat Maipp, CGC, FAMA, PDC dalam lain-lain agensi negeri dan pusat. Kita bersama dalam program promosi di MIHAS KL, Ekspo Halal Melaka, Makkah Halal Forum, MIHAS@Shanghai, MIHAS@Dubai, Bootcamp dan banyak lagi program berkaitan keusahawan samada secara langsung dan tidak langsung.
Samada rakan-rakan usahawan menjadi ahli PUMPP ataupun tidak, kami tetap menyantuni anda. Kami tidak lupa untuk mengkongsikan program-program, dana-dana dan apa sahaja yang memberi keuntungan dan kebaikan kepada warga usahawan Muslim Pulau Pinang yang kami sayangi.
Saya yakin telah ramai usahawan yang telah mendapat faedah daripada usaha PUMPP ini. Namun, untuk menjadi ahli, ramai yang masih teragak-agak, atas alasan masing-masing. Kami hormati pandangan anda.
Janji kami dipihak AJK PUMPP sejak diawal penubuhan Pertubuhan, semaada diminta atau tidak, kami tetap terus menyumbang apa sahaja yang perlu dilakukan untuk kebaikan rakan-rakan usahawan. Bagi kami, kejayaan para usahawan itu penting dalam meningkatkan kedudukan ekonomi orang-orang Muslim di Pulau Pinang.
Sebagai Presiden Pertubuhan Usahawan Muslim Pulau Pinang, saya amat-amat menghargai sumbangan rakan-rakan dalam Jawatan Kuasa PUMPP iaitu Dato Alias Ali (Timbalan Presiden), Tn. Hj. Mohd Rodzi (Naib Presiden), Pn. Zurilaili Ishak (Setiausaha), Cik Azmira (Bendahari), En. Mohd. Nasri Adnan (Pengarah Korporat), Pn. Hazilah, Pn. Firyal Harlina, En. Mazwan, Dr. Jauriyah, Dr. Noriah, Hj. Farmizi, En. Sahol Hamid, En. Azmi, Dr. Fauzy Hifny dan Tn. Hj. Syed Ageel.
Mengakhiri tahun ini, pihak PUMPP telah dilantik sebagai Wakil Kutipan Bukan Kerajaan (NGO) Zakat MAIPP. Ini bermakna, rakan-rakan usahawan mempunyai pilihan untuk membayar zakat melalui PUMPP bermula 29hb. Disember 2025.
Alhamdulillah. Saya mendokan rakan-rakan usahawan semua dianugerahkan kesihatan, dimurahkan rezeki, diberikan ketabahan dalam mengharungi dunia perniagaan ditahun 2026. Moga ALLAH SWT merahmati kita semua.
Bagi yang berminat untuk menyertai PUMPP, sila isikan permohonan melalui Borang Rasmi Pertubuhan di pautan berikut https://forms.gle/Ms8wWGqHVAvCZXUA7. Bagi ahli sedia ada, Yuran Tahunan yang dikenakan sebanyak RM100.00, manakala bagi pemohon baharu, bayaran sebanyak RM200.00 dikenakan ( RM100.00 yuran pendaftaran dan RM100.00 yuran tahunan). Semua bayaran hendaklah dibuat kepada USAHAWAN MUSLIM PULAU PINANG, No. Akaun 07043011059171, Bank Islam. Sila kemukakan bukti pembayaran (WhatsApp) kepada Setiausaha, Pn Zurilaili di talian 017-266 3994 untuk tujuan pengesahan.
Ikhlas dari saya,
DATO’ SR. DR. MUHAMAD FARID SAAD
Presiden
Pertubuhan Usahawan Muslim Pulau Pinang (PUMPP)
31 Disember 2025