31/07/2026
Program Grace & Grit: My Look, My Pesona anjuran Kolej Profesional MARA (KPM) Ayer Molek pada 1 Ogos 2026 bertempat di Anjung Munsyi Abdullah, KPM Ayer Molek, Melaka.
Hari pertama di kolej bukan sekadar mendaftar sebagai pelajar, namun ianya ialah hari permulaan membina identiti, membentuk sahsiah dan menentukan hala tuju masa hadapan.
Atas sebab itulah, amat penting para pelajar dibimbing sejak awal memasuki alam pendidikan tinggi, untuk membentuk imej, identiti dan sahsiah diri yang tepat, profesional serta konsisten dengan bidang dan profesion yang ingin diceburi apabila melangkah ke alam pekerjaan kelak.
Sesungguhnya penampilan yang kemas, adab yang terpuji dan sahsiah yang mulia sentiasa mendapat tempat dalam industri serta tidak pernah lapuk dalam dunia pekerjaan.
Kompetensi membuka peluang, tetapi karakter, etika dan personaliti yang unggul adalah kelebihan kompetitif dan nilai tambah strategik yang menentukan siapa yang lebih dipercayai, dihormati dan dipilih, dan yang membezakan individu cemerlang daripada yang biasa.
In sha Allah esok, kami akan bersama 250 orang pelajar Kolej Profesional MARA (KPM) Ayer Molek dalam Program Grace & Grit: My Look, My Pesona yang akan berlangsung di Anjung Munsyi Abdullah, KPM Ayer Molek, Melaka.
Para peserta terdiri daripada pelajar-pelajar baru Diploma Business Studies, Diploma Perakaunan, YTP Foundation in Accountancy dan Pra Diploma yang sedang melalui fasa transisi daripada alam persekolahan ke alam pengajian tinggi.
Melalui program ini, para pelajar akan didedahkan kepada:
1. Membina imej dan pesona diri yang profesional sebagai pelajar IPT.
2. Memilih penampilan yang sesuai mengikut situasi dan etika kampus.
3. Mengamalkan komunikasi yang baik dan berhemah serta sentiasa menghormati pensyarah dan warga kolej.
4. Membentuk keyakinan diri melalui penampilan, adab dan personaliti yang positif.
Kerjaya yang cemerlang bermula pada hari seseorang memilih untuk membina disiplin dan membangunkan karakter dan profesionalisme dalam dirinya sejak alam pengajian lagi.
Terima kasih kepada Kolej Profesional MARA Ayer Molek atas kepercayaan dan peluang kepada kami untuk bersama-sama membentuk generasi muda yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah memiliki imej, sahsiah dan personaliti yang mampu menjadi kebanggaan keluarga, institusi dan negara.
Semoga program ini berjalan lancar, mencapai setiap objektif yang dirancang serta mendapat keberkatan Allah SWT, in sha Allah amin.
“Your Image Opens Doors. Your Character Builds Trust. Your Attitude Creates Success.”