02/02/2019
KUALA TERENGGANU: Kerajaan di peringkat akhir rundingan untuk menyediakan kemudahan lebih baik kepada pengusaha bagi mengeksport terus sarang walet mentah ke China.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, berkata rundingan yang dijalankan sejak tahun lalu itu menunjukkan perkembangan positif apabila China sudah pun menyediakan tempat untuk menerima sarang walet mentah dari Malaysia.
"Kerajaan sudah menandatangani protokol setahun lalu bagi membolehkan pihak China memberi akses kepada kerajaan membuat pemeriksaan dan rundingan dengan pihak pengusaha dalam memenuhi syarat yang mereka tentukan sebelum mengeksport sarang burung ini.
"Kita perlu mendapatkan persetujuan China sebelum mengeksport sarang burung mentah ke negara berkenaan memandangkan mereka mahu mendapatkan sarang burung berkualiti, selain membantu pengusaha tempatan mendapat harga yang sewajarnya dengan kualiti sarang yang dihantar," katanya selepas bertemu pengusaha sarang walet, di sini, hari ini.
Ahmad Shabery berkata, China sudah membangunkan dua blok bangunan bernilai RM400 juta di Kawasan Perindustrian Chengdu, bagi menerima kemasukan sarang walet Malaysia.
"Buat masa ini kita mempunyai lebih 10,000 pengusaha walet yang berdaftar membabitkan 20,000 rumah sarang.
"Dengan harga sarang walet mentah yang boleh mencecah RM4,000 hingga RM5,000 setiap kilogram, kita yakin dapat membantu pengusaha mengembangkan lagi sayap perniagaan mereka ke luar negara," katanya.
Beliau berkata, kerajaan juga mengarahkan pihak Agro Bank membantu pengusaha daripada segi pinjaman, selain meneliti beberapa tanah untuk dijadikan kawasan perindustrian berkenaan.
"Kita berharap operasi mengeksport sarang walet mentah dapat direalisasikan tahun ini dan dalam tempoh terdekat melihat kepada kesungguhan kerajaan terhadap industri ini," katanya.