09/12/2023
Saya tak mahu berlagak memberi nasihat atau tips rumahtangga itu dan ini, baik monogami mahupun poligami. Hakikatnya tidak ada apa yang saya pernah terlepas dari ujian rumahtangga yang anda semua juga lalui. Malah mungkin lebih lagi.
💥 Begaduh dengan isteri
💥 Semua isteri bergabung menentang
💥 Perselisihan sesama isteri
💥 Hilang sabar
💥 Turun naik mahkamah
💥 Bercerai
Cuma setakat hari ini, dengan ehsan Allah SWT, saya masih lagi terpelihara dari menanggung musibah yang tak mampu saya tanggung:
Walaupun bergaduh, Allah SWT 'leraikan' dengan hadirnya ketundukan mereka terhadap institusi saya sebagai suami. Bagi yang sudah tidak mampu tunduk, Allah SWT 'salurkan' dengan cara yang paling adil mengikut kebijaksanaanNya.
Walaupun isteri-isteri bergabung menentang sesuatu keinginan saya yang mereka sepakat tak bersetuju, Allah SWT masih lagi hadirkan kekuatan untuk saya teguh dengan pendirian. Mungkin apa yang saya nampak, Allah SWT belum izinkan lagi untuk mereka nampak. Mungkin juga saya benar-benar silap pertimbangan. Namun ada kemaafan dari mereka yang memahami beban yang sedang saya galas.
Perselisihan pendapat dan terguris hati sesama isteri adalah perkara biasa yang dilalui. Namun melalui masa dan asbab 'kedegilan' saya 'memaksa' mereka bermuasyarah melalui pelbagai aktiviti, akhirnya prasangka semakin menipis. Rasa baik sangka mula hadir dan mereka semakin berazam untuk tidak terperangkap dalam 'zon kebencian' yang lazimnya akan membawa pada perselisihan yang merugikan.
Ada masa dan ketika saya boleh sahaja hilang kawalan dan terkeluar 'perangai syaitan'. Cuma dalam seburuk-buruk perangai yang terlajak, belum lagi mana-mana isteri pernah terkena kekerasan fizikal dari saya. Habis kuat, berderai pinggan atau berkecai barang apa yang sempat di tangan sahaja.
Turun naik mahkamah syariah adalah perkara yang bukan asing bagi saya. Baik semasa proses permohonan poligami, hinggalah melayan tuntutan cerai. Rekod saya, 1 perceraian telah dilafaz di dalam mahkamah tanpa denda. Itu maksudnya tidak ada lafaz cerai di luar mahkamah yang berlaku. Sekarang p**a sedang melalui 1 lagi proses mahkamah yang memenatkan.
Moral yang ingin saya tampilkan, bercerai tidak akan jadi mudah dengan saya. Saya berkahwin dengan isteri-isteri yang dicintai adalah untuk bercerai mati. Saya bukan orang yang berpegang pada semangat:
"Kalau dah tiada persefahaman, cerai sajalah"
Tidak ada apa salahnya dengan poligami. Cabarannya adalah terletak pada menguruskan jiwa-jiwa yang berbeza sahaja. Ia adalah syariat yang berukun, sama seperti rukun-rukun syariat yang lain.
Amat jelas tidak ada istilah "setia" setelah syariat poligami dibenarkan menjadi salah satu kaedah menyempurnakan kehidupan insan. Setia adalah 'pemain import' yang diimport dari budaya lain. Jelas itu adalah budaya yang memang disusun rapi untuk meruntuhkan nilai-nilai murni agama kita. Ia telah 'memakan' kita secara halus hingga terlerai apa sahaja yang pernah diqudwahkan Baginda Rasul SAW.
Apa yang Allah SWT ilhamkan ke atas saya melalui syariat ini adalah suatu bentuk kesibukan ingin memainkan peranan dan menunaikan tanggungjawab. 'Memain peranan' bermaksud menggerakkan sedaya mungkin potensi institusi suami yang mengemudi rumahtangga. Peranan ini harus benar-benar difahami dan sebaik-baik kefahaman adalah menggarapnya dari sumber wahyu. Semuanya ada tersedia dalam bentuk formula yang harus dirungkai dengan cermat dan bijaksana.
'Menunai tanggungjawab' p**a bermaksud menjayakan misi rumahtangga yang telah disemai dan dibajai ke atas seluruh ahli keluarga yang mampu menggarapnya. Di situlah akan terhasil tindakan-tindakan dalam pelbagai bentuk. Jika membuahkan hasil, ia adalah kepuasan yang sukar digambar dengan kata-kata. Jika sebaliknya, anggap sahaja ia sesuatu yang tidak diizinkan Allah SWT atas sifatNya yang Maha Mengetahui.
Poligami adalah syariat yang lebih banyak memenangkan golongan wanita sebenarnya. Tinggal sahaja 'mental block" yang perlu di unblock adalah isu 'setia' yang membelenggu.
www.hishamnamat.com