01/01/2022
SELAMAT MENYAMBUT TAHUN 2022
Pertama sekali, kami ingin menyampaikan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua rakan-rakan serta kakitangan atas khidmat bakti, usaha gigih dan pencapaian hebat setakat ini yang menjadi penanda aras kepada pencapaian dimasa akan datang.
Sebelum dunia dilanda wabak COVID-19, kita masih lagi di peringkat awal dalam memahami kesan yang dibawa oleh revolusi perindustrian keempat (IR4.0) terhadap cara hidup kita. Kemajuan teknologi yang pesat memacu kita ke arah masa depan dunia digital yang mengujakan namun tidak menentu, malah pada masa yang sama kita masih berdepan dengan isu-isu perubahan iklim, ketegangan politik dan cabaran ekonomi global.
Dalam keadaan yang tidak menentu ini, telah timbul hasrat agar wujudnya sumber yang dapat mengekalkan kestabilan. Sebagai sebuah institusi yang memberi perkhidmatan dalam pelbagai bidang, kami akan berusaha untuk mencapai masa depan yang lebih baik.
Kami sentiasa yakin bahawa Azibrade Holdings (M) Sdn Bhd mampu memenuhi hasrat dan harapan pelanggan serta kakitangan yang bersama-sama kami. Kejayaan yang diraih selama ini merupakan hasil usaha gigih dan komitmen berterusan oleh seluruh warga Azibrade Holdings (M) Sdn Bhd yang amat berkebolehan dalam mengharungi pelbagai cabaran, yang terdiri daripada kakitangan yang berwibawa, pihak Pengurusan yang berdedikasi dan wira kami yang sebenar – iaitu seluruh warga kerja kami. Dalam kita mengorak langkah ke hadapan, saya yakin Azibrade Holdings (M) Sdn Bhd mampu memperkukuh kekuatan sedia ada untuk menguasai keupayaan serta hala tuju baharu ke arah mencapai visi syarikat.
Khidmat cemerlang kami harus diteruskan, ditambah baik dan diperlengkap dengan inovasi yang seiring dengan perkembangan terkini, demi memenuhi hasrat dan aspirasi negara. Di samping itu, langkah-langkah yang wajar harus diteruskan bagi memastikan piawaian tadbir urus, ketelusan dan akauntabiliti sentiasa berada pada tahap tertinggi. Bersama-sama, kami pasti mampu menjulang Azibrade Holdings ke mercu kejayaan yang lebih gemilang.
SELAMAT MENYAMBUT TAHUN 2022
Dari kami warga:
Azibrade Holdings (M) Sdn Bhd
Sitiawan Perak