07/09/2026
BAJOO BUKA PELUANG KOPERASI JANA PENDAPATAN
Universiti Islam Selangor (UIS) menjadi lokasi pertama operasi Bajoo, perniagaan dobi layan diri tanpa tunai (cashless) yang diperkenalkan Koperasi PKNS Berhad (KoPKNS) sebagai antara usaha mempelbagaikan sumber pendapatan koperasi.
Pengerusi KoPKNS, Ishak Hashim berkata, dua outlet Bajoo Space kini beroperasi di UIS, masing-masing di asrama pelajar wanita dan asrama pelajar lelaki bagi memberi kemudahan serta akses lebih mudah kepada warga kampus.
Menurutnya, kedua-dua outlet itu dijangka mampu memberikan p**angan pendapatan yang baik kepada KoPKNS berikutan keperluan perkhidmatan dobi yang konsisten dalam kalangan pelajar yang menetap di kampus.
“Bagaimanapun, matlamat kami bukan semata-mata untuk menjana pendapatan. Kami mahu Bajoo Space memberikan nilai tambah kepada pelajar dan mewujudkan pengalaman menggunakan perkhidmatan dobi yang lebih selesa, mudah dan sesuai dengan gaya hidup mereka.
“Justeru, kami memperkenalkan konsep Bajoo Space, iaitu ruang yang bukan hanya untuk mencuci dan mengeringkan pakaian tetapi turut menjadi tempat pelajar berehat, belajar atau berbincang sementara menunggu pakaian mereka siap,” katanya.
Beliau berkata, Bajoo Space dilengkapi kemudahan meja dan kerusi bagi mewujudkan suasana lebih selesa sekali gus menjadikannya sebagai ruang komuniti mini dalam kawasan kediaman pelajar.
Katanya, penggunaan sistem pembayaran tanpa tunai p**a membolehkan urusan dobi dilakukan dengan lebih mudah dan pantas, selari dengan gaya hidup digital generasi muda hari ini.
BUKA PELUANG KEPADA KOPERASI
Ishak berkata, UIS hanyalah permulaan dan KoPKNS mempunyai perancangan lebih besar untuk mengembangkan model perniagaan itu ke lokasi lain yang mempunyai potensi pasaran sesuai.
Malah, katanya, KoPKNS bersedia membuka peluang kepada koperasi di seluruh negara yang berminat menjadikan perniagaan dobi layan diri sebagai salah satu sumber pendapatan jangka panjang.
“Kita tidak mahu kejayaan Bajoo Space hanya dinikmati KoPKNS. Jika model ini baik dan berdaya maju, kita mahu pengalaman serta kepakaran ini turut dimanfaatkan koperasi lain.
“KoPKNS bersedia menjadi rakan perunding dan menyediakan penyelesaian dari A hingga Z, bermula daripada kajian kesesuaian lokasi, perancangan konsep, reka bentuk premis, pembekalan mesin, pemasangan, sistem pembayaran tanpa tunai sehingga khidmat nasihat berkaitan operasi.
“Maknanya, koperasi yang berminat tidak perlu bermula dari kosong. Kita boleh membantu mereka membangunkan perniagaan ini secara lebih tersusun berdasarkan model dan pengalaman yang telah kita bangunkan,” katanya.
Menurut Ishak, perniagaan dobi layan diri mempunyai potensi untuk dijadikan antara pilihan koperasi dalam usaha mempelbagaikan aktiviti perniagaan dan mewujudkan aliran pendapatan yang lebih konsisten.
Beliau berkata, pendekatan KoPKNS adalah untuk menjadikan Bajoo Space bukan sekadar satu lagi jenama dobi, tetapi model perniagaan yang boleh dikembangkan dan direplikasi oleh gerakan koperasi di seluruh negara.
“Bagi kami, Bajoo Space bukan hanya mengenai mesin basuh dan pengering. Kita sedang membina satu model perniagaan yang mudah, relevan dengan keperluan semasa dan mempunyai potensi untuk berkembang.
“UIS adalah tapak pertama. Daripada sini kita akan terus belajar, memperkemaskan model operasi dan melihat peluang untuk membawa Bajoo Space serta kepakaran yang kita bina ke lebih banyak lokasi,” katanya.
Pembiayaan Untuk Pelaburan
Simpanan Untuk Masa Hadapan