25/02/2026
Tradisi perayaan di CSR bukan sekadar tentang kuih dan hadiah, tetapi tentang makna di sebaliknya.
Setiap kali musim perayaan seperti Tahun Baharu Cina, Aidilfitri dan Deepavali, CSR tidak pernah membiarkan warga kerja pulang dengan tangan kosong. Kuih tradisional atau moden berkualiti tinggi sentiasa menjadi sebahagian daripada kegembiraan yang dikongsi bersama.
Namun bermula 2026, inisiatif ini menjadi lebih manis dan istimewa.
Tempahan kuih perayaan CSR kini disediakan oleh Puan Masniza Soib, usahawan tempatan dan bekas penerima zakat yang berjaya mengembangkan perniagaan Wawa Wani Bakery yang terletak di Pokok Sena, Kedah Darul Aman.
Premis sederhana saiznya namun menawarkan banyak pilihan kueh terletak di tepi jalan besar Kuala Nerang dan hanya 20km dari CSR Padang Terap.
Daripada penerima zakat kepada pembayar zakat, perjalanan beliau membuktikan bahawa peluang dan usaha mampu mengubah kehidupan. Dalam tempoh dua tahun, beliau bangkit daripada kesukaran, dan hari ini perniagaannya turut membuka rezeki kepada 14 orang pekerja daripada golongan asnaf, termasuk ibu tunggal, pelajar dan anak yatim.
Semoga inisiatif kecil ini membawa kegembiraan kepada penerima dan manfaat kepada komuniti.