23/02/2022
Fasa Pembuatan Produk (Makanan). Dimana kita selalu sangkut?
Fasa Buat
1. Buat produk, mmm... rasa ok, boleh tahan..
2. Buat pakejing biasa-biasa dulu, Alhamdulillah boleh jual..
3. Tambah pengeluaran, masih buat sorang-sorang kat rumah. Nampak boleh pergi jauh ni..
4. Upgrade sikit.. Tukar pakejing
5. Hati gembira. Ramai puji produk sedap. Permintaan makin banyak dari kalangan sahabat handai terdekat dan kawan-jawan medsos..
6. Tak boleh jadi ni. Kena tambah production ni. Kena beli mesin, kena ambil / tambah pekerja
7. Bila tambah mesin, tambah pekerja, pengeluaran jadi banyak sikit. tiba ke Fasa nak pasarkan...?? Mmmm...
Fasa Pemasaran & Jualan
8. Nak guna channel mana dulu?
9. Nak jual COD / online / kredit? Mestilah seboleh-bolehnya nak jual tunai kan? Tapi adakah semudah itu?
10. Nak jual tunai, kena ada salesman ramai. Kena bayar gaji, kos perjalanan (minyak petrol). Jual tunai agak susah. Nak jual tunai sendiri tanpa guna salesman? Berapa banyakla yang kita mampu jual. Kilang tengah jalan production tu. Kang tak pasal-pasal stok bertimbun. Expired jalan.. modal stuck. Masa buat sensorang kat rumah boleh la On Off production. Bila sewa kedai, ada pekerja, dah tak boleh kerap sangat on off. Sewa kena bayar, pekerja nak kena setel gaji.
11. Nak jual consignment (kredit) perlu modal banyak. Bukan kaleng-kaleng. Tak semua pengusaha kecil punya modal yang besar untuk main game ni..
12. Nak jual online (produk makanan), kos penghantaran tinggi (mahal tali pada lembu). Mungkin juga faktor ketahanan / rosak masa penghantaran..
13. Nak jual banyak? Nak tak nak kena pikir jalan masuk pasaraya. Nak jual di pasaraya? Modal pusingan agak besar, kena ada sijil halal (kos), kena ada pakejing yang sempurna, dan nak masuk pasaraya pun kena bayar listing fee (kos). Akhir sekali, persaingan nak masuk pasaraya, belum tentu lagi produk kita diterima masuk.
14. Nak lantik agen dan stokis, berapa margin nak bagi? Kos pengeluaran tinggi. Kita bukan produk kecantikan / kesihatan yang punya margin tinggi. Letak harga tinggi, pesaing lain harga rendah.
15. Jika berjaya cari agen satu Malaysia pun, macam mana urusan distribution? Siapa nak tanggung kos logistik? Stokis baru tak mampu ambil stok dalam kuantiti besar. Selain masalah modal, ada masalah keyakinan sebab produk baru. Tambahan lagi jenis produk yang expired date nya singkat.. Lagi lelah.. Jika produk frozen, kena ada penyimpanan sejuk beku.
16. Urusan pengiklanan? Kena pakai duit / modal besar juga. Tak iklan langsung, susah nak jalan. Iklan sikit-sikit tak berapa nak berkesan.
17. Letak dekat beberapa outlet kecil, jualan lebih kurang je. Bukan setakat nak untung, nak cover gaji dan sewa pun tak lepas. Kos perjalanan (petrol pun makan modal jugak)
18. Nak jual tunai kat agen, agen mintak hutang. Lama kelamaan senyap tak bayar. Duit modal dan untung mati disitu.
19. Nak buat pinjaman, bank tak bagi. Tak cukup syarat dan transaksi..
20. Ada stokis yang minta hantar bawah pada minimum order, sekali hantar untung habis ke kos logistik. Kadang-kadang negatif.
21. Hantar ke outlet besar sikit, semua kena kredit. Bukan tak bayar tapi bayar lambat. Yang tak ada modal akan mati modal. Bila mati modal, tak ada production berlaku..
22. Bila tak cukup modal, mula buat pinjaman. Makin lama makin besar buat pinjaman. Modal makin sangkut, pinjaman pun sangkut. Kilang besar jadi tukun..
Ini adalah sebahagian dari cabaran pengeluar produk makanan kecil-kecilan..
CABARAN TERBESAR adalah pada fasa pemasaran dan jualan, bukan pada fasa cipta, buat produk sedap dan hebat.
Semua orang boleh buat produk hebat, sedap tapi tak semua orang berjaya pasarkannya dengan baik..
Kebanyakannya sangkut pada fasa nak pasarkannya secara besar-besaran / komersial.
Sebelum buat produk, fikir, kaji, tanya, belajar dulu macam mana nak lepasi fasa puaka (berkenaan aspek pemasaran / jualan / logistik) ini dulu..
Kalau tidak, nasib (mungkin tak berapa baik) yang sama akan menimpa anda.. Mintak jauh..
Saya yakin ramai yang sudah melalui fasa ini.. Kan?
Credit to : Tuan Abd Hakim Awang - D'Apple