08/05/2026
Di sebalik arus kemodenan dan dominasi hiburan digital masa kini, seorang anak muda berketurunan Tionghoa dari Kok Lanas terus teguh mempertahankan seni tradisional wayang kulit agar tidak tenggelam ditelan zaman.
Kang Xiau Ren atau lebih dikenali sebagai Aaren Kang membuktikan minat terhadap warisan budaya tidak mengenal bangsa apabila aktif sebagai pemain wayang kulit selain menjadi pensyarah sambilan di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) di Kuala Lumpur.
Pemuda berusia 29 tahun itu berkata, kecintaannya terhadap wayang kulit bermula sejak kecil kerana dibesarkan dalam keluarga yang dekat dengan seni tradisional tersebut. Bapanya, Kang Boon Ann atau lebih dikenali sebagai Che Ann merupakan pembuat patung wayang kulit dan tok dalang yang aktif membuat persembahan di kampung-kampung.
Menurut Aaren, keluarganya kemudian menubuhkan kump**an wayang kulit sendiri dikenali sebagai Sri Cindayu yang unik kerana menghimpunkan pemain daripada pelbagai kaum termasuk Melayu, Cina dan India.
Dalam keluarga itu, setiap ahli memainkan peranan tersendiri — bapanya sebagai tok dalang, ibunya pemain gong, kakaknya bermain canang manakala Aaren sendiri mengendalikan geduk dan turut mempelajari serunai.
Kini, selain aktif membuat persembahan di pelbagai acara rasmi dan bengkel kebudayaan, Aaren juga berbangga apabila menjadi antara generasi muda bukan Melayu yang masih aktif sebagai tok dalang wayang kulit di Kelantan.
Katanya, ramai yang terkejut apabila mengetahui dirinya berbangsa Cina tetapi fasih bermain wayang kulit sehingga ada yang tidak percaya dan menyangka dia Melayu.
Bagi Aaren, wayang kulit bukan sekadar hiburan tradisional, malah mempunyai unsur terapi melalui muzik dan persembahan yang mampu memberi ketenangan serta menghiburkan penonton.
Pengalaman paling manis sepanjang bergiat dalam seni itu adalah apabila diberi peluang membuat persembahan hingga ke Washington selama dua minggu. Katanya, masyarakat luar negara turut menunjukkan minat mendalam terhadap wayang kulit apabila terpesona dengan bunyi serunai dan persembahan tradisional Kelantan.
Selain Amerika Syarikat, beliau juga pernah membuat persembahan di Kemboja dan Thailand.
Sebagai tenaga pengajar p**a, Aaren mengakui gembira melihat perkembangan pelajar-pelajarnya yang pada awalnya tidak mempunyai asas dalam wayang kulit namun semakin mahir selepas beberapa minggu mengikuti pembelajaran.
Tambahnya, dia bercita-cita menyambung pengajian ke peringkat sarjana dalam bidang wayang kulit selain mahu memperkenalkan elemen kontemporari dalam persembahan supaya seni tradisional itu terus diminati generasi muda.